Kegagalan cakera dan aplikasi punca pasaran sekuriti ditutup

Kegagalan cakera dan aplikasi punca pasaran sekuriti ditutup

SINGAPURA, 20 Julai – Kegagalan cakera dan satu aplikasi yang tidak dapat dikenal pasti merupakan penyebab utama pasaran sekuriti terpaksa ditutup pada 14 Julai lalu, menurut Bursa Singapura (SGX).

“Siasatan menunjukkan kejadian itu disebabkan oleh kegagalan cakera dan aplikasi yang tidak dapat mengenal pasti masalah itu,’’ ujar kenyataan SGX semalam.

Cakera yang rosak itu sudah pun diganti dan pemeriksaan penuh dilaksanakan.

SGX berikrar membaiki proses penjanaan data dan mengemas kini fail data bagi memenuhi keperluan anggota.

Dalam kejadian yang berlaku pada Khamis lalu, SGX mula mengenal pasti gangguan itu pada 9:38 pagi.

“Oleh sebab aplikasi itu tidak mengenal pasti kegagalan cakera tersebut, ia tidak secara automatik disokong oleh sistem sokongan kedua,’’ ujar SGX.

Kelmarin, SGX mengumumkan ia akan membentuk sebuah anak syarikat berasingan, RegCo, bagi menguruskan semua fungsi pengawalannya pada separuh kedua tahun depan. Langkah itu sekali gus mengasingkan kegiatan komersial dan operasi daripada tugas pengawalannya. – BHS

ARTIKEL YANG SAMA