Keganasan tambah ketegangan isu Al-Aqsa

Keganasan tambah ketegangan isu Al-Aqsa

BAITULMUQADDIS, 27 Okt (AFP) – Keganasan baru anti-Israel menyaksikan tiga orang Palestin ditembak mati di Tebing Barat semalam, sementara usaha-usaha untuk menamatkan ketegangan berhubung halaman Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis dengan memasang kamera di tapak itu berdepan masalah.

Peningkatan keganasan dalam konflik ini tidak menunjukkan tanda-tanda berkurang ketika orang Palestin, kebanyakan mereka remaja dari Hebron, bandar yang sedia hendak meledak, mengadakan lebih banyak serangan bersendirian bersenjatakan pisau ke atas tentera-tentera Israel, dan pertempuran dengan pasukan tentera di Tebing Barat yang diduduki.

Penikaman dan bantahan ganas telah menjadi kejadian harian sejak ketegangan semakin mendidih berhubung status halaman Masjid Al-Aqsa di Bandar Lama, Baitulmaqddis pada awal Oktober, mengakibatkan ramai yang terkorban.

Pada malam semalam, Israel berkata ia telah melancarkan serangan udara ke atas dua sasaran Hamas di Semenanjung Gaza selepas roket dilepaskan di seberang sempadan, mengenai kawasan lapang, tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan.

Dari tiga orang Palestin itu yang ditembak mati semalam, seorang telah menikam seorang tentera Israel di bahagian leher dan seorang lagi dibunuh ketika cuba melakukan serangan menikam, menurut pihak tentera.

Mayat seorang remaja berusia 19 tahun yang telah ditembak mati semasa pertempuran penduduk Palestin dan pasukan keselamatan Israel, diusung untuk dikebumikan di Kampung Tebing Barat Sair, semalam. – AFP
Mayat seorang remaja berusia 19 tahun yang telah ditembak mati semasa pertempuran penduduk Palestin dan pasukan keselamatan Israel, diusung untuk dikebumikan di Kampung Tebing Barat Sair, semalam. – AFP

Secara berasingan, remaja berusia 17 tahun ditembak mati apabila pertempuran meletus berhampiran Hebron, tetapi punca bantahan dinyatakan.

Keganasan semalam telah menjadikan orang Palestin yang dibunuh dalam cubaan menyerang dan pertempuran kepada 56 orang. Seorang penyerang Arab Israel juga terbunuh.

Dan selepas Israel bersetuju pada Sabtu lalu untuk memasang kamera pengawasan di Al-Aqsa, yang disifatkan oleh Setiausaha Negara AS John Kerry sebagai ‘pengubah permainan’, langkah itu segera berdepan halangan pertamanya.

Amanah yang dikendali oleh Jordan yang mentadbir tapak itu, yang dikenali sebagai ‘Waqf’ mengatakan apabila para pegawainya muncul untuk memasang kamera awal semalam, mereka disekat oleh polis Israel.

Waqf berkata “Kami menganggap perkara ini bukti bahawa Israel mahu memasang kamera yang hanya untuk kepentingannya sendiri.”

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membidas dalam satu kenyataan, dengan mengatakan pengaturan untuk memasang kamera ‘sepatutnya diselaraskan di peringkat profesional’

Pihak Palestin mahu status quo kembali menjadi seperti dalam tahun 2000, apabila Jordan mengawal kemasukan dan bukan Israel, yang kerap mengenakan pengetatan.