Keganasan terbaru Burundi ragut satu nyawa

Keganasan terbaru Burundi ragut satu nyawa

BUJUMBURA, 22 Jan (AFP) – Sekurang-kurangnya seorang maut ketika tembakan dan letupan menggegar ibu negara Burundi lewat Khamis sebaik delegasi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba bagi menamatkan pergolakan politik di negara itu, kata pegawai.

Sumber pentadbir tempatan berkata, seorang belia ditembak mati oleh polis selepas bom tangan meletup di kawasan Mutakura, timur laut Bujumbura.

Mangsa kedua pula cedera. Maklumat itu disahkan oleh beberapa orang saksi.

Pergolakan tercetus sebaik Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tiba di Bujumbura bagi mendesak kerajaan mengadakan rundingan dengan pembangkang dan menerima kehadiran tentera pengaman.

Delegasi sedang berusaha menamatkan keganasan yang mencengkam negara itu sejak April lalu apabila Presiden Pierre Nkurunziza mengumumkan kejayaan dalam pilihan raya semula.