Kegembiraan buat RM, unjuran positif

Kegembiraan buat RM, unjuran positif

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Ringgit mengukuh hari ini, berbanding dolar AS dan dolar Singapura, selepas pengumuman kerajaan mengenai pengubahsuaian bajet 2016, yang memberi tumpuan ke atas usaha mengekalkan pertumbuhan.

Ia menunjukkan pasaran menerima baik pengubahsuaian bajet itu, yang lebih realistik dan sesuai dengan senario semasa, kata Ketua Bahagian Pendapatan Tetap dan Penyelidikan Ekonomi Hong Leong Bank, Choong Yin Pheng, Jumaat.

Bajet 2016 dibentangkan Oktober lepas berasaskan harga minyak pada AS$48 setong, namun dalam tempoh tiga bulan, harga jatuh kepada paras bawah AS$30 setong, sekali gus memerlukan pengubahsuaian.

Dalam pengumuman semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penurunan harga minyak memberi kesan ke atas hasil negara antara RM7 bilion dan RM9 bilion. Namun, beliau memberi jaminan bahawa langkah berhemat yang diambil kerajaan akan memastikan penjimatan RM9 bilion dalam perbelanjaan operasi dan pembangunan, tanpa berkompromi ke atas keperluan rakyat dan negara.

“Kita melihat kedudukan global, sentimen positif mula mengalir masuk, terutama apabila harga minyak bertambah baik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA