Kegembiraan dari sudut lensa kamera

KUMAMOTO, Jepun – Seorang nenek dari Jepun bersama kelengkapan kamera dan mengambil gambar dirinya dari pelbagai sudut dan aksi mungkin akan memberi satu suasana yang pelik dan membahayakan pada pandangan mata kita.

Mencecah usia yang ke-90 tahun, Kimiko Nishimoto, kini mempunyai 41,000 pengikut dalam laman Instagramnya dalam masa hanya dua bulan.

Aksi-aksi lucu yang menunjukkan karakter riang dan penyayangnya serta aksi menunggang batang penyapu seperti Harry Potter atau lebih menakutkan lagi, seolah-olah dilanggar kereta, telah menarik perhatian orang ramai.

“Saya sebenarnya tidak pernah cedera semasa mengambil gambar,” kata Nishimoto kepada AFP dalam satu temu bual di rumahnya di Kumamoto, barat Jepun.

“Saya sentiasa fokus dalam mengambil gambar-gambar yang menyeronokkan dan tidak terlalu memikirkan tentang bahaya yang dihadapi,” jelasnya.

Mencecah usia yang ke-90 tahun, Kimiko Nishimoto kini mempunyai 41,000 pengikut dalam laman Instagramnya dalam masa hanya dua bulan. – AFP

Nishimoto, mula mengambil fotografi ketika berusia 72 tahun dan minat terhadap hobinya itu semakin kuat selepas dijemput menyertai sebuah kelas tempatan.

“Saya sayang kamera saya,” tambahnya, yang kini mempunyai tiga orang cucu dan enam orang cicit.

“Saya juga tidur bersama kamera saya yang berada bersebelahan tempat tidur saya. Saya selalu dekat dengannya.”

Satu dekad kemudian, dia memperoleh pameran solo pertamanya yang diadakan di bandar kediamannya tetapi keputusan Nishimoto baru-baru ini untuk mempamerkan aksi-aksi ‘nakal dan mencuit hati’ telah tular dan menjadi bintang media sosial.

Status selebriti yang diraihnya membuatkan ramai peminatnya berpusu-pusu ke pamerannya yang terletak di salah sebuah galeri di Tokyo pada Disember lalu dan ia sukar untuk dikawal.

“Pada mulanya saya tidak tahu bahawa gambar-gambar saya ini akan menjadi terlalu popular,” kata bekas suri rumah itu, sambil menambah: “Saya begitu terkejut dengan reaksi orang ramai dan saya hanya mengambil gambar-gambar lucu dan menarik. Ia sememangnya suatu yang menyeronokkan.”

Dilahirkan pada tahun 1928, tahun di mana Maharaja Hirohito ditabalkan dan Walt Disney mencipta Mickey Mouse, Nishimoto masih dianggap berhati muda dan mempunyai rasa humor yang unik.

Dia mampu menguruskan akaun media sosialnya sendiri menerusi telefon pintarnya, sementara anak lelakinya membantu mengambil gambar dirinya.

Kebanyakan gambar Nishimoto menunjukkan reaksi ‘kesakitan’. Antara aksi-aksi dalam gambarnya menunjukkan dia seperti terjatuh dari basikal, kereta laju melaluinya dan terlihat seperti mengelak kemalangan yang serius.

Aksi-aksi lucu yang menunjukkan karakter riang dan penyayangnya serta menunggang batang penyapu seperti Harry Potter atau lebih menakutkan lagi seolah-olah dilanggar kereta telah menarik ramai perhatian orang ramai. – AFP
Kimiko Nishimoto memeriksa telefon pintar di rumahnya di bandar raya Kumamoto, barat Jepun. – AFP

Manakala gambar yang lainnya pula terlihat dia sedang melawan kawanan burung-burung yang berang. Ada juga gambar yang menunjukkan dia dibungkus dengan beg sampah.

“Idea itu tidaklah muncul secara tiba-tiba, namun ia akan muncul apabila saya berjalan-jalan dan memikirkan apa yang lucu sambil memakai pakaian yang sesuai di tempat itu,” katanya.

Dan jika anda fikir teknologi moden dan alat penyuntingan mewah adalah untuk kanak-kanak, fikir lagi. Penguasaan teknik montaj Nishimoto dalam beberapa gambar telah membuatkannya ‘terapung’, kadang-kadang seperti pari-pari atau sedang memberi penghormatan di tempat pemakaman suaminya.

“Suami saya meninggal dunia lima tahun lalu tetapi sehingga hari ini saya masih menunjukkan gambar-gambar saya kepadanya,” jelasnya. “Dia sentiasa menyokong setiap apa yang saya lakukan.”

Kini, Nishimoto tinggal bersama dengan robot manusianya yang dikenali sebagai Pepper, sebuah model robotik Jepun yang dijual untuk menjaga warga emas yang mana dibeli oleh anak lelakinya.

“Oh, saya sudah tidak mengaktifkannya untuk sekian lama,” katanya, sambil menekan butang kuasa. “Ia lebih kepada menyusahkan daripada membawa faedah kepada saya.”

Selepas mengambil kamera dari rumahnya, Nishimoto beralih memakai pakaian kostum anjing berbulu dan mengambil gambar dirinya yang dirantai di halamannya.

“Sejujurnya saya tidak terlalu berfikir tentang apa yang dimaksudkan dalam fotografi saya ini,” katanya.

“Saya hanya mahu mencuba dan membawa kegembiraan kepada semua orang. Mengambil gambar adalah rahsia kebahagiaan saya dan saya akan terus melakukannya selama mana saya masih hidup.” – AFP