Kegiatan M&A kekal utuh pada 2016

Kegiatan M&A kekal utuh pada 2016

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Walaupun nilai penggabungan dan pengambilalihan (M&A) pada 2015 menurun, volumnya meningkat dan penganalisis menjangka kegiatan itu kekal teguh pada tahun depan.

Trend M&A yang kukuh ini akan berterusan untuk masa depan di tengah-tengah dinamik perniagaan yang sentiasa berubah dan dilihat sebagai satu pemacu nilai dalam dunia korporat hari ini.

Menurut laporan Persatuan Penggabungan & Pengambilalihan Malaysia, syarikat terus mengusahakan pemacu pendapatan baharu, peningkatan kecekapan kos, pertumbuhan penguasaan pasaran serta penambahbaikan produk dan perkhidmatan.

“Penubuhan Komuniti Ekonomi Asia Tenggara akan terus memacu M&A di Malaysia dan seluruh rantau,” kata persatuan itu.

Data Duff & Phelps Singapore Pte Ltd, firma penilaian dan penasihat kewangan korporat, mendedahkan nilai urus niaga M&A di Malaysia setakat ini tahun ini, berjumlah AS$8.9 bilion berbanding AS$10.8 bilion pada 2014. (AS$1=RM4.28)

Perjanjian domestik merangkumi 54 peratus daripada nilai transaksi keseluruhan dengan tenaga merupakan sektor terbesar dari segi nilai, diikuti hartanah dan perusahaan.

“Malaysia mencatatkan peningkatan kegiatan M&A dalam separuh kedua 2015 dengan volum tertinggi sebanyak 114 urus niaga dicatat dalam tempoh enam bulan sejak 2013,” kata Pengarah Urusan Srividya C. Gopalakrishnan.

Urus niaga terbesar pada 2015 ialah pembelian Edra Global Energy Bhd (Edra) oleh China General Nuclear Power Corp (CGN Group), bernilai AS$2.3 bilion.

Ini diikuti pembelian Perdana Petroleum Bhd oleh Dayang Enterprise Holdings Bhd pada harga AS$338.6 juta.

Pada 23 November, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta Edra Global Energy Bhd dan anak syarikatnya memeterai perjanjian jual beli saham dengan CGN Group dan subsidiarinya bagi penjualan 100 peratus pemilikan mutlak 1MDB dalam semua aset tenaga di bawah Edra.

Menerusi perjanjian itu, CGN Group akan membayar dalam bentuk tunai nilai ekuiti sebanyak RM9.83 bilion dan akan bertanggungjawab terhadap seluruh hutang kasar dan tunai berkaitan syarikat-syarikat operasi Edra, berdasarkan tarikh penilaian 31 Mac 2015. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA