Kegiatan penyeludupan didominasi sindiket Lembah Klang

Kegiatan penyeludupan didominasi sindiket Lembah Klang

ALOR SETAR, 17 Dis – Kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di Bukit Kayu Hitam dan Kota Putera di Durian Burung kini didominasi sindiket-sindiket yang berpangkalan di Lembah Klang, menurut Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah.

Komandernya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, anggota sindiket sanggup menempuh perjalanan hampir 1,000km untuk membawa barangan seludup seperti beras dan minyak petrol dari sempadan ke Lembah Klang.

Faktor keuntungan yang berlipat ganda menjadi daya penarik terbesar bagi anggota sindiket untuk menempuh kepayahan dan bahaya dalam mengharungi perjalanan yang jauh itu.

“Dalang sindiket menggunakan modal banyak, misalnya seludup beras, selepas itu mereka akan cari lori-lori yang sanggup bawa barang tersebut, biasanya bukan dari Kedah, kalau ada pun hanya alamat tipu,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama hari ini.

Menurut Abdul Latif, sindiket bertindak berani dengan menggunakan kontena dan treler 40 kaki melalui kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan mengisytiharkan barangan bukan seperti yang dibawa. Tangkapan terbaru di sempadan Malaysia-Thailand di Kota Putra melibatkan tiga buah treler, manakala di Bukit Kayu Hitam, melibatkan kontena dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat susunan beras di sebalik kayu-kayu, kata Abdul Latif.

Jelas beliau, trend penyeludupan seperti itu sekarang dilihat semakin berevolusi berbanding tahun 1980-an dan 1990-an dulu, yang dilihat lebih kepada ‘cari wang’ berbanding ‘cari makan’. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA