Kegigihan anak, ibu bapa berbaloi

Kegigihan anak, ibu bapa berbaloi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Usaha gigih untuk mengejar pendidikan lebih baik dan selesa terbukti mampu melangkaui segala halangan persekitaran dan suasana persekolahan yang serba kekurangan bagi Dayang Azirah binti Abdul Hafiz yang menerima Biasiswa Khas bagi Sesi 2015 hingga 2019 dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

Kegigihan bapa beliau, Awang Abdul Hafiz, untuk merebut peluang mendapatkan pendidikan terbaik bagi anak perempuannya juga telah mendorongnya untuk terus memberikan perangsang dan sokongan terhadap kemajuan Dayang Azirah dalam pelajaran.

Hari ini, Dayang Azirah, Awang Ahmad Danial bin Jaafar, Dayang Nurfizatul Ain binti Haji Hambrin dan Dayang Siti Nurlyani binti Emran terpilih sebagai penerima Anugerah Biasiswa Khas Yayasan setelah meraih keputusan cemerlang 5 ‘A’ dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah 2014.

Anugerah biasiswa itu memberi mereka keistimewaan untuk melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi persekolahan tahun ini sehingga 2019, dengan segala kos perbelanjaan persekolahan akan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan.

Ketika menjawab pertanyaan pemberita, Awang Abdul Hafiz menceritakan, setelah beliau bersara dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, beliau mendaftarkan Dayang Azirah di Sekolah Rendah Datu Pemancha Saging, Ukong di Daerah Tutong.

Dayang Azirah Abdul Hafiz menandatangani kontrak perjanjian Biasiswa Khas Pelajar Cemerlang sesi 2015-2019.
Dayang Azirah Abdul Hafiz menandatangani kontrak perjanjian Biasiswa Khas Pelajar Cemerlang sesi 2015-2019.
Dayang Nurfizatul Ain Haji Hambrin menandatangani kontrak perjanjian Biasiswa Khas Pelajar Cemerlang Sesi 2015-2019.
Dayang Nurfizatul Ain Haji Hambrin menandatangani kontrak perjanjian Biasiswa Khas Pelajar Cemerlang Sesi 2015-2019.

Semasa belajar di sekolah itu, beliau telah mendaftarkan Azirah untuk mengikuti Projek Kelas Tuisyen, Program Intervensi Pendidikan yang dikendalikan oleh Yayasan semasa anaknya itu belajar pada Tahun 5 dan Tahun 6.

Kesungguhannya untuk memastikan Program itu dapat meningkatkan tahap pelajaran Dayang Azirah dan meraih keputusan cemerlang bagi melayakkannya mendapat anugerah biasiswa khas itu juga mendorong beliau turut sama melibatkan diri dalam kemajuan anaknya itu.

Menurutnya, setelah berjaya meraih keputusan 5 ‘A’ dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) Azirah telah ditempatkan ke Sekolah Menengah Tanjung Maya, namun tidak lama kemudian Dayang Azirah telah diterima menuntut di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Jalan Kebangsaan, ibu negara.

“Anak saya telah mendapat tempat untuk menuntut di Sekolah Menengah Yayasan dengan semua perbelanjaan persekolahannya dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan, namun oleh kerana ketiadaan tempat di asrama sekolah itu pada masa ini, saya berkorban berulang-alik dari Tutong untuk menghantar dan menjemput Azirah setiap hari ke sekolah,” ujarnya.

Sementara bagi seorang bapa, Haji Hambrin bin Haji Tuah, yang bertugas sebagai Pembantu Pejabat di Kementerian Pertahanan, biasiswa khas yang diterima anaknya, Dayang Nurfizatul Ain, adalah suatu rezeki kurniaan Allah yang dapat meringankan tanggungannya ke atas tujuh anak beliau.

Ketika ditanya keadaan pelajaran anak, Awang Haji Hambrin berkata, kejayaan anak perempuan kelimanya itu didorong oleh sikap saling bantu-membantu dalam keluarganya terhadap pelajaran, terutama abang kepada Dayang Nurfizatul Ain yang banyak membantu dan mendorong adiknya dalam pelajaran sehingga berjaya meraih keputusan 5 ‘A’ dalam peperiksaan PSR tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA