Kegigihan membuahkan hasil

Kegigihan membuahkan hasil

Oleh Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Usaha dan pengorbanan yang dicurahkan selama tempoh pengajian di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dalam pelbagai jurusan akhirnya membuahkan hasil yang menggembirakan apabila berjaya menggenggam segulung ijazah yang tidak ternilai bagi setiap graduan.

Bagi Dayang Norleha binti Haji Matarsat, graduan jurusan Sarjana Muda Perguruan Ugama (Usuluddin), segala penat lelah yang beliau harungi selama empat tahun pengajian nyata berbaloi.

Sebagai seorang isteri dan ibu, beliau perlu membahagikan masa dengan betul antara menguruskan rumah tangga, menuntut ilmu serta mengulang kaji pelajaran.

“Soal pengurusan masa amat penting sekali bagi saya. Selesai saja waktu pengajian di kolej, masa untuk menguruskan keluarga dibuat dan pada sebelah malam, barulah sesi ulang kaji pelajaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Raptai Penuh Majlis Konvokesyen ke-5 KUPU SB kelmarin.

Beliau adalah antara 232 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas esok (Sabtu).

Dayang Norleha gembira berjaya menamatkan tempoh pengajian selama empat tahun.
Dayang Norleha gembira berjaya menamatkan tempoh pengajian selama empat tahun.

Dayang Norleha yang juga seorang tenaga pengajar di Sekolah Ugama Kupang Tutong, berharap untuk melanjutkan pengajian dalam peringkat Sarjana dalam bidang Usuluddin, jika diberikan peluang.

Dengan ijazah yang diperolehi, beliau berharap ia akan menjadi langkah awal untuk terus maju, seterusnya menjadi contoh kepada anak-anak dalam mencapai kejayaan mereka.

Seorang lagi graduan, Dayang Hazimah binti Haji Aji, penerima ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama Usuluddin bagi sesi 2013-2015 berkata, beliau sebelum ini mengikuti Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Usuluddin pada Tahun Tiga dan mendapat keputusan cemerlang dan sangat baik lalu ia dinaikkan taraf kepada Sarjana Muda Perguruan Ugama Usuluddin untuk tempoh dua tahun saja.

Menceritakan mengenai cabaran semasa tempoh pengajian, Dayang Hazimah berkata, kemasukan yang terlewat sebulan disebabkan proses keputusan sebelumnya, menyebabkan beliau banyak ketinggalan pelajaran dan perlu dikemas kini.

Dayang Hazimah mengikuti pengajian dalam bidang Sarjana Muda Perguruan Ugama Usuluddin di KUPU SB.
Dayang Hazimah mengikuti pengajian dalam bidang Sarjana Muda Perguruan Ugama Usuluddin di KUPU SB.

Menurutnya, ini memerlukan kelas intensif sendiri bersama pensyarah dan ustaz untuk mendapatkan nota-nota tambahan dan kelas mengejar silibus yang tinggal.

“Antara cabaran yang paling sukar ialah membuat latihan ilmiah di mana bagi pra perkhidmatan ia terlalu baru jika dibandingkan dengan pelajar yang Latihan Dalam Perkhidmatan kerana mereka sudah mempunyai pengalaman sebelumnya.

“Apa yang paling penting untuk mencapai kejayaan ini adalah perlu fokus semasa berada di dalam kelas dan dekat dengan mualim untuk mendapatkan keberkatan daripada mereka,” katanya yang kini menyambung pengajian Sarjana Perguruan Ugama Sastera Islam di KUPU SB.

Seorang lagi graduan, Haji Mohd Irawan bin Haji Mohd Said, 36, menjelaskan bahawa beliau adalah seorang pelajar ‘in-service’ yang telah mengambil jurusan Sarjana Muda Perguruan Ugama Syariah dan juga seorang ayah kepada dua orang anak lelaki berumur 7 dan 8 tahun.

Sebelum ini, beliau telah bertugas di Sekolah Ugama Pulaie sebagai seorang guru agama terlatih.

Haji Mohammad Irawan mengambil jurusan Sarjana Muda Perguruan Ugama Syariah.
Haji Mohammad Irawan mengambil jurusan Sarjana Muda Perguruan Ugama Syariah.

Menurut beliau, dalam mengharungi cabaran-cabaran pembelajaran, apatah lagi bagi seorang pelajar yang telah mempunyai keluarga ialah pembahagian masa yang bijak.

Pembahagian masa dengan keluarga dan pelajaran adalah amat penting dimana beliau sering kali mengamalkan membaca buku selama 10 ke 15 minit.

“Apa yang penting juga untuk mencapai kejayaan ini, sembahyang jangan tinggal, berdoa dan kemudian redha serta menghormati guru semasa waktu kuliah dijalankan.

“Selain itu, segala tugasan yang telah diberikan haruslah disiapkan dengan segera agar menghindarkan sifat lalai di samping mempunyai kerjasama bersama rakan-rakan yang lain.”

Beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan dan dorongan yang telah diberikan oleh keluarga, guru-guru dan sahabat seperjuangan beliau.

Sementara itu graduan Sarjana Muda Perguruan Ugama Haji Aziman bin Haji Amit, 30, menjelaskan bahawa beliau baru saja bergelar ayah yang mempunyai seorang cahaya mata berumur kira-kira lapan bulan.

Haji Aziman graduan Sarjana Muda Perguruan Ugama.
Haji Aziman graduan Sarjana Muda Perguruan Ugama.

“Alhamdulillah, walaupun saya sebagai pelajar in-service, kawan-kawan saya di sepanjang proses pembelajaran ini banyak membantu walaupun masa itu terhad dibahagikan bersama keluarga jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar yang lain.”

Di samping dengan membahagikan masa itu, ia juga adalah penting untuk inisiatif sendiri seperti meluangkan masa di perpustakaan dalam mencari bahan pelajaran.

Beliau adalah salah seorang pelajar yang terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar di Makassar, Indonesia selama empat bulan semasa semester ke empat.

Di sana, beliau melihat sendiri perbezaan proses pembelajaran di antara pelajar di sana dan pelajar di Negara Brunei. Selepas ini, beliau merancang, jika diberikan rezeki, akan meneruskan pembelajaran beliau ke peringkat Sarjana.

ARTIKEL YANG SAMA