Keharmonian sosial penting jamin keamanan

Keharmonian sosial penting jamin keamanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Negara Brunei Darussalam percaya bahawa keharmonian sosial dengan semangat berbaik-baik dalam kalangan rakyat sangat penting untuk mewujud dan mengekalkan keamanan serta keselamatan seperti yang dinikmatinya sampai sekarang.

Kerana itu menerusi bidang pendidikan dan dakwah, kerajaan terus-menerus berusaha menanamkan sikap dan semangat saling menghormati dalam kalangan semua pihak bagi menolak fahaman melampau yang boleh mendorongkan tindakan-tindakan berupa pengganasan yang mengancam keamanan dan keselamatan negara.

Ini dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, sewaktu menyertai perbincangan sesi pertama Persidangan Umum ke-26 Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam, di Aswan, Mesir, Sabtu lalu.

Menurut beliau, sesuai dengan ajaran Islam, adalah mustahak semua pihak menolak fahaman melampau dan menentang tindakan pengganasan dalam apa jua bentuknya.

Dalam masa yang sama semua pihak iaitu kerajaan dan orang ramai perlu berusaha mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan daripada pertikaian sesama sendiri.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin sewaktu mengadakan perbincangan sesi pertama Persidangan Umum ke-26 Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam, di Aswan, Mesir, Sabtu lalu.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin sewaktu mengadakan perbincangan sesi pertama Persidangan Umum ke-26 Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam, di Aswan, Mesir, Sabtu lalu.
Yang Berhormat Pehin ketika mengadakan perjumpaan dengan Prof. Dr. Mohammad Mokhtar Gum’ah.
Yang Berhormat Pehin ketika mengadakan perjumpaan dengan Prof. Dr. Mohammad Mokhtar Gum’ah.

Persidangan dua hari anjuran Kementerian Waqaf, Mesir itu membentangkan dua belas kertas kajian yang ditulis oleh pakar-pakar akademik dan pemimpin-pemimpin pertubuhan kemasyarakatan membalas isu-isu sekitar bertemakan ‘Peranan Institusi-Institusi Ugama di Dunia Arab dan Islam Dalam Menghadapi Cabaran serta Harapan: Dengan Muhasabah Diri dan Pandangan Secara Objektif’ (The Role of the Religious Institutions in both Arab and Muslim World in Facing Challenges and Hopes; A Critical Analysis and Objective Examination).

Persidangan tersebut yang dirasmikan oleh Menteri Waqaf Mesir, Prof. Dr. Mohammad Mokhtar Gum’ah disertai oleh menteri-menteri dan mufti-mufti dari beberapa buah negara Arab, Asia dan Afrika, kalangan akademik dari pusat-pusat pengajian tinggi dan pemimpin serta aktivis sosial Islam dan bukan Islam.

Pada sebelah petangnya Yang Berhormat Pehin telah mengadakan perjumpaan dengan Prof. Dr. Mohammad Mokhtar Gum’ah, bagi membincangkan peningkatan kerjasama dua hala dalam bidang ugama.

Hadir sama ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Haji Abd Kahar bin Haji Hussin dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusuf.

ARTIKEL YANG SAMA