Kehilangan besar

Kehilangan besar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 27 Sept – Kebakaran besar di Pekan Seria yang membabitkan Pasa Raya Milimewah, sebuah kedai menjual peralatan telefon dan kedai emas pada Jumaat lalu, mencatatkan kerugian dianggarkan $4 juta.

Insiden yang dipercayai berpunca daripada penggunaan tenaga elektrik berlebihan, meranapkan Pasa Raya Milimewah yang menjadi pusat sehenti penduduk tempatan bagi keperluan seharian mereka.

Beberapa orang penduduk yang ditemui hari ini melahirkan rasa kehilangan kerana pasar raya itu merupakan tempat mereka membeli-belah barangan keperluan seperti makanan, pakaian, peralatan elektrik dan sebagainya.

“Saya sering berkunjung ke pasar raya itu, kerana memudahkan saya untuk mendapatkan apa saja keperluan, tetapi kini setelah kejadian, agak menyukarkan, kerana pasar raya lain tidak menawarkan barangan selengkap di situ,” kata Dayang Asnah. Dengan harga berpatutan dan mudah diakses kerana lokasi dekat dengan tempat kediaman, beberapa orang warga asing juga meluahkan perasaan sedih kehilangan tempat membeli-belah itu. Bangunan deretan yang terbakar kini hanya tinggal rangka selepas api besar memusnahkannya namun sebahagian yang menempatkan dua buah bank sudah mula beroperasi selepas disahkan selamat untuk digunakan.

Pasa Raya Milimewah cawangan Seria yang cukup terkenal di kalangan masyarakat di Seria, kini tinggal rangka, dan menyebabkan suasana persekitaran Pekan Seria juga hilang keceriaannya.
Pasa Raya Milimewah cawangan Seria yang cukup terkenal di kalangan masyarakat di Seria, kini tinggal rangka, dan menyebabkan suasana persekitaran Pekan Seria juga hilang keceriaannya.

Turut merasakan kehilangan besar pasar raya itu merupakan pekerja dan kakitangannya yang khuatir mereka akan kehilangan pekerjaan, namun dalam masa yang sama mengharapkan ia akan beroperasi semula tidak lama lagi. Menurut Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap, kebakaran itu juga menghapuskan satu mercu tanda di pekan ini yang telah terbina sebelum kelahirannya lagi, selain mengakibatkan kerugian besar kepada pengusahanya.

Kebakaran besar itu memusnahkan empat unit premis, dua bagi Pasaraya Milimewah dan satu kedai peralatan telefon serta kedai emas yang merupakan antara bangunan tertua di situ. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian yang berlarutan dari jam 2:20 petang sehingga 6 petang. Lebih 50 orang anggota bomba dan 10 jentera bomba dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.

ARTIKEL YANG SAMA