Kehilangan empat individu di Kudat tiada unsur jenayah – Polis

Kehilangan empat individu di Kudat tiada unsur jenayah – Polis

KUDAT, 10 Mei (Bernama) – Ketua Polis Daerah Kudat DSP Dawi Ossen berkata tiada unsur jenayah termasuk penculikan dalam insiden kehilangan bot dan empat indvidu semasa dalam perjalanan dari Pulau Balambangan ke Tanjung Simpang Mengayau, Kudat lewat petang 2 Mei lalu.

Beliau berkata berdasarkan kepada siasatan polis serta penemuan enjin bot oleh nelayan yang diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjadikan kes berkenaan sebagai kejadian bot karam di kawasan perairan Kudat.

“Isu penculikan untuk dapatkan wang tebusan (KFR) memang tidak wujud (dalam kes ini). Memang ada pihak mengandaikan empat individu hilang itu sudah sampai di Filipina namun penemuan enjin dan bot berkenaan menjadikan kes berkenaan sebagai karam di laut,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Ahad lalu, APMM mengesahkan bahawa enjin bot yang tersangkut pada bot nelayan kira-kira jam 10 pagi itu adalah enjin yang digunakan semasa bot hilang berdasarkan diskripsi yang ada pada enjin itu seperti tali dan pelekat berwarna biru yang disahkan adik lelaki pemilik bot, Tommy Lam Wai Yin iaitu Alen Lam.

Ahli keluarga yang hilang diberi penerangan oleh wakil Maritim Malaysia ketika tiba di pejabat Maritim Kudat kelmarin. – Bernama
Ahli keluarga yang hilang diberi penerangan oleh wakil Maritim Malaysia ketika tiba di pejabat Maritim Kudat kelmarin. – Bernama

Dalam insiden lewat petang Isnin minggu lalu, empat individu yang dilaporkan hilang itu ialah suami isteri dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun, warga China yang juga pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau, Tommy Lam Wai Yin, 45, dan wanita tempatan yang juga pekerja resort, Armella Ali Hassan, 23.

Mereka yang dalam perjalanan dari Pulau Balambangan sepatutnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau pada 8 malam hari yang sama.

Ahad lalu, satu daripada enjin bot berkenaan dijumpai tersangkut pada pukat nelayan namun sebuah lagi enjin berkuasa kuda 30 beserta bot terjatuh semula ke dalam air semasa pukat itu ditarik naik oleh nelayan.