Kejayaan Australia 600 hari tanpa ketibaan pencari suaka

Kejayaan Australia 600 hari tanpa ketibaan pencari suaka

SYDNEY, 17 Mac (AFP) – Australia hari ini mengalu-alu dasar menyuruh bot pencari perlindungan berpatah balik sebagai satu kejayaan selepas 600 hari tanpa kapal yang tiba, dan hampir 700 orang diusir sejak dasar itu dilancarkan.

Di bawah langkah tersebut, pencari perlindungan yang berusaha sampai ke Australia dengan bot diminta berpatah balik ke negara mereka atau dihantar ke kem pulau Pasifik terpencil, di mana keadaan telah dikritik dengan dakwaan rogol dan penganiayaan lain. Mereka dihalang daripada menetap di Australia walaupun jika mereka didapati pelarian dalam satu dasar yang telah dipertahankan oleh kerajaan konservatif sebagai menghalang maut di laut.

“Esok (Jumaat) menandakan 600 hari sejak perjalanan penyeludupan orang ke negara kami dan kerajaan bertekad untuk memastikan ia dikekalkan,” kata Menteri Imigresen Peter Dutton di Canberra.

Sejak bermulanya “Operasi Sempadan Berdaulat” pada September 2013 apabila kerajaan berkuasa, 25 bot yang membawa 698 orang telah diminta berpatah balik dan “pulang dengan selamat ke negara mereka,” tambah Dutton.

Kumpulan hak telah mengkritik keadaan kem sementara doktor dan pemberi maklumat berkata penahanan pencari perlindungan, terutamanya kanak-kanak, telah meninggalkan beberapa orang bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Amnesti juga telah menggesa kajian semula diadakan dalam dakwaan mengatakan pihak berkuasa Australia membayar krew dalam bot penyeludupan orang AS$30,000 untuk memulangkan 65 pencari perlindungan ke Indonesia.

Dasar itu telah mencetuskan ketegangan dengan Jakarta, yang mengingatkan pada awal bulan ini selepas enam penghijrah Bangladesh dipulangkan ke timur bandar Indonesia Kupang dengan bot nelayan bahawa operasi sedemikian adalah berbahaya.

Sekumpulan ‘pendatang haram’ dari Sri Lanka dibawa pulang ke negara Asia Selatan pada Februari, tambah komander operasi Major Jeneral Andrew Bottrell pada satu persidangan akhbar.

ARTIKEL YANG SAMA