Kejayaan DPMM FC jadi inspirasi pelajar

Kejayaan DPMM FC jadi inspirasi pelajar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Brunei DPMM FC dilihat sebagai contoh dan teladan yang terbaik dalam komitmen dan kejayaan merak dalam Liga Singapura yang secara tidak langsung menjadi inspirasi kepada pelajar dan golongan muda untuk bergiat dan aktif bukan sahaja dalam sukan malah dalam pembelajaran masing-masing.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean ketika ditemui di Sekolah Menengah Rimba bagi program ramah mesra pelajar bersama Brunei DPMM FC di dewan sekolah itu hari ini.

Menurutnya program tersebut bermula tahun lalu dan Skuad Brunei DPMM FC telah melawat banyak sekolah, memberikan nasihat kepada pelajar daripada perspektif pemain, berkongsi bersama pemain mengenai komitmen dan apa yang perlu dibuat oleh pemain profesional di Liga Singapura dan peringkat antarabangsa bagi mewakili negara.

“Antara yang akan kami kongsikan adalah pengalaman dan pengorbanan yang perlu dibuat oleh pemain dalam setiap perlawanan dan kami juga berpeluang menghadiahkan tiket perlawanan kepada pelajar untuk melihat permainan di tempat sendiri pada Sabtu ini nanti,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai Brunei DPMM FC sebagai penanda aras peningkatan bola sepak negara, menurutnya beliau sangat berbesar hati dengan kejayaan bawah 19 tahun Brunei DPMM FC yang kini melahirkan tiga orang pemain tempatan daripada skuad itu untuk disalurkan kepada skuad utama Brunei DPMM FC.

Steve Kean ketika bercakap di majlis itu.
Steve Kean ketika bercakap di majlis itu.

“Kami (Brunei DPMM FC) suka melihat mereka yang berpotensi untuk terus membangunkan permainan masing-masing kerana mereka juga berpeluang untuk menyarung jersi DPMM FC dan ia sudah terbukti dengan tiga orang pemain muda yang kini semakin menyerlah di dalam kelab ini,” tegasnya.

Melihat kepada permainan menentang Home United hujung minggu lalu, menurutnya Skuad DPMM FC bermain baik berbanding perlawanan ketika menentang Albirex Niigata sebelum ini.

“Kita wajar mendapat lebih banyak jaringan, namun ia bukan yang disasarkan kerana Brunei DPMM FC ada lagi lima permainan di tempat sendiri dalam lima minggu ini nanti.

“Kini kita berada dalam kalangan kumpulan teratas di Liga Singapura dan perlawanan Sabtu ini berhadapan Tampines Rovers FC di tempat sendiri adalah permainan yang sedikit mencabar, namun apa yang penting kita memperkukuhkan pasukan untuk perlawanan seterusnya,” tambahnya lagi.

Menurut lagi, “Kita menunjukkan permulaan yang baik dan saya yakin kita akan mempunyai kelebihan apatah lagi kita bermain di tempat sendiri untuk mendapatkan lagi banyak mata sebelum pusingan kedua dalam Liga Singapura.”

Mengulas mengenai kombinasi pemain, beliau berkata empat serangan yang diaturkan kini memainkan peranan masing-masing terutama dengan dan berbanding pasukan lain kita mempunyai persefahaman yang baik dan ia sangat penting.

Dalam perlawanan seterusnya Steve Kean menegaskan Tampines Rovers FC adalah salah satu cabaran dan ujian besar DPMM FC kerana mereka mempunyai skuad yang bagus dan katanya ia merupakan percubaan terbaik untuk DPMM FC dalam cabaran liga musim ini.

“Ketiadaan pemain import bukan satu kelemahan kita kerana saya sangat yakin akan pemain tempatan kita untuk mengisikan tempat-tempat kosong jika terjadi sebarang kecederaan kepada pemain import kerana mereka sendiri menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA