Kejayaan masa lalu pembakar semangat

Kejayaan masa lalu pembakar semangat

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Kejayaan atlet sukan sepak takraw dalam penyertaan pertama Sukan Pantai Asia di Thailand pada 2014 diharap dapat dijadikan pembakar semangat kepada pasukan untuk berusaha lebih gigih bagi mempertahankan kecemerlangan dan meningkatkan prestasi di samping meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berkata demikian di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Pantai Asia ke-5 di Dan Nang, Vietnam, hari ini.

Beliau mengingatkan atlet agar sentiasa berwaspada supaya tidak terjebak dalam penggunaan ubat-ubatan terlarang dan tidak dikenal pasti yang boleh mengakibatkan pembatalan atau disingkirkan daripada pertandingan atau digantung daripada menyertai sebarang pertandingan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Bukan setakat itu, atlet juga perlu menjaga disiplin dan kondisi masing-masing sebelum dan semasa kejohanan terutama dari aspek penjagaan kesihatan,” tambah Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mengingatkan supaya atlet sentiasa fokus dan mempunyai semangat jitu bagi meraih kemenangan dan mengharumkan nama bangsa dan negara sekali gus mencipta sejarah gemilang dalam perkembangan kecemerlangan sukan negara.

Yang Berhormat Pehin  menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Atlet-atlet yang mewakili Negara Brunei Darussalam ke kejohanan tersebut.
Atlet-atlet yang mewakili Negara Brunei Darussalam ke kejohanan tersebut.

“Atlet yang menyertai sukan ini selaku wira negara akan memberi saingan hebat dan akan berjaya mempertahankan kejuaraan selepas meraih pingat emas dalam acara Trio di Sukan Pantai Asia ke-4 pada tahun 2014,” tambahnya.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa prihatin dalam perkara ini dengan memperuntukkan sejumlah besar kewangan bagi perkembangan sukan di negara ini, di samping memberikan peluang dan pendedahan berterusan bagi atlet yang menyertai kejohanan di dalam dan luar negara.

Penyertaan negara ke sukan berprestij ini merupakan sokongan dan komitmen berterusan negara dalam meningkatkan hubungan dengan negara-negara Asia yang lain ke arah memupuk persahabatan muhibah, mengekalkan perpaduan dan keamanan.

Selain itu, ia juga merupakan platform atau landasan yang boleh dimanfaatkan olet atlet untuk saling kenal mengenali antara satu dengan lain.

“Di samping dapat memperluaskan dan mengukuhkan jalinan persahabatan, acara seperti ini juga dapat meningkatkan integrasi di kalangan negara Asia,” tambahnya.