Kejohanan anjuran BBA menghampiri kemuncaknya

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Sebanyak tujuh perlawanan diteruskan bagi Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah 2018 anjuran Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) termasuk tiga perlawanan Kategori Veteran dan empat dalam Kategori Lelaki.

Dalam Kategori Veteran, Pasukan Brunei Muara A berjaya menumpaskan Brunei Muara B dengan kutipan mata 98-71, manakala Pasukan Temburong pula berhasil menundukkan Pasukan Tutong dengan kutipan mata 58-55 sebelum berjaya ditewaskan oleh Pasukan Brunei Muara B dengan pungutan mata 53-63 dalam perlawanan yang diadakan pada keesokannya.

Sementara itu, dalam Kategori Lelaki pula, Pasukan Temburong kini boleh berbangga setelah berjaya mendapatkan dua kemenangan setelah menumpaskan Pasukan Tutong dengan jaringan 90-75 sebelum menumpaskan Pasukan Kuala Belait dengan jaringan 79-98 dalam satu perlawanan yang diadakan sehari kemudian.

Gambar ramai terdiri daripada pemain Pasukan Brunei Muara A dan Pasukan Tutong sebelum perlawanan dimulakan.

Pasukan Seria pula terpaksa akur dengan corak permainan Pasukan Brunei Muara B setelah tewas dengan jaringan 74-98 manakala Pasukan Brunei Muara A turut mencatatkan kemenangan 80-100 ke atas Pasukan Tutong semalam.

Malam ini dan esok sebanyak lima perlawanan akhir bakal diadakan dengan menyaksikan Pasukan Seria akan menentang Pasukan Brunei Muara B dan Pasukan Temburong, Pasukan Tutong pula akan berhadapan dengan Pasukan Brunei Muara A dan Pasukan Brunei Muara B dan satu lagi perlawanan juga bakal berlangsung antara Pasukan Brunei Muara A menentang Pasukan Kuala Belait.

Sementara itu, majlis penutup kejohanan itu bakal diadakan pada malam esok.