Kejohanan B-2...

Kejohanan B-20 pentas bintang masa depan

SEOUL, 18 Mei – Kejohanan Piala Dunia B-20 yang akan membuka tirai di Korea Selatan Sabtu ini kelihatan terbuka luas selepas juara 2015 Serbia dan finalis Brazil masing-masing gagal melayakkan diri.

Beberapa bakat muda bola sepak terbaik dunia akan beraksi bersama lebih 500 lagi pemain dalam 24 pasukan yang mengambil bahagian tetapi para penerima taruhan berbelah-bahagi mengenai siapa yang akan menjadi pemain pilihan.

Bleuets Perancis akan turun tanpa pemain berbisa Monaco Kylian Mbappe atas desakan kelab dan jurulatih kanan Perancis Didier Deschamps yang ada tiga perlawanan awal bulan depan.

Perlawanan pembukaan Sabtu ini menyaksikan skuad Venezuela turun bersama empat pemain antarabangsa termasuk penyerang 12 kap Argentina Malaga Adalberto Penaranda akan berdepan Jerman dalam aksi Kumpulan B di Daejeon.

Temasya kemudian akan menyaksikan salah satu persaingan Piala Dunia yang amat dinanti-nantikan di Jeonju apabila England menentang pemenang enam kali Argentina.

Kedua-dua musuh lama itu diundi bersama dalam Kumpulan A oleh bekas kapten legenda Argentina Diego Maradona yang terkenal dengan jaringan ‘Tangan Tuhan’ menyingkirkan England pada suku akhir Piala Dunia 1986.

Sejarah panjang pertempuran kedua-dua negara kanan Piala Dunia itu juga merangkumi David Beckham yang dicerca gara-gara kad merah di Perancis pada 1998 dan kejayaannya menebus malu sebagai kapten apabila menjaringkan gol kemenangan ke atas Argentina di Sapporo, Jepun, empat tahun kemudian.

Skuad England kali ini mempunyai bek kanan Kyle Walker-Peters yang baru sahaja menandatangani kontrak baru dengan naib juara Liga Perdana Tottenham Hotspur dan penyerang Dominic Solanke yang akan tamat kontrak dengan Chelsea musim panas ini.

Solanke, yang dipercayai berada dalam senarai harapan intipan kelab seperti Liverpool, RB Leipzig dan Celtic, menikmati tempoh pinjaman yang berjaya di Vitesse Arnhem musim lalu di mana beliau menyumbat tujuh gol dalam 21 penampilan dalam liga utama Belanda. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA