Kejohanan Bola Keranjang Persatuan CHMS Alumni 2015

Kejohanan Bola Keranjang Persatuan CHMS Alumni 2015

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Buat julung-julung kalinya, Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan (CHMS Alumni), akan mengadakan Kejohanan Bola Keranjang Persatuan CHMS Alumni 2015 yang bakal bermula pada 30 Oktober nanti di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam, Batu Bersurat.

Kejohanan itu merupakan salah satu acara sukan dalam karnival sukan CHMS Alumni 2015 di mana ia memberikan peluang kepada bekas pelajar-pelajar CHMS dan juga ahli-ahli muda persatuan itu untuk bersama-sama tampil dan mengambil bahagian dalam acara sukan berkenaan.

Pengerusi Persatuan CHMS Alumni, Tan Guan Siong berkata kejohanan yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam (BBA) bukan sahaja diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturahim di antara ahli persatuan dengan orang ramai, tetapi juga memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali dengan lebih dekat persatuan berkenaan serta untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat melalui acara sukan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan, Chan Choi Beng dalam sidang media mengenai kejohanan yang berlangsung di Pejabat Persatuan CHMS Alumni, hari ini, berkata kejohanan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A (tertutup) bagi ahli-ahli persatuan dan jemputan sahaja dan Kategori B iaitu terbuka kepada semua penyertaan di mana borang penyertaan kejohanan boleh diambil dari Pejabat Persatuan CHMS Alumni, Tingkat 1, S.A.K Complex, Spg 103, Jalan Gadong.

Tan Guan Siong bergambar ramai bersama-sama Ahli Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Bola Keranjang Persatuan CHMS Alumni 2015, selepas sidang media yang diadakan di Pejabat Persatuan CHMS Alumni, Gadong.
Tan Guan Siong bergambar ramai bersama-sama Ahli Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Bola Keranjang Persatuan CHMS Alumni 2015, selepas sidang media yang diadakan di Pejabat Persatuan CHMS Alumni, Gadong.

Beliau berkata bahawa yuran penyertaan bagi setiap pasukan dalam setiap kategori ialah sebanyak $300 di mana penyertaan adalah terhad iaitu hanya terdapat 16 pasukan akan beraksi dalam setiap kategori dengan syarat-syarat lanjut bagi setiap kategori boleh diperoleh dalam borang pendaftaran kejohanan.

Beliau menjelaskan bahawa hadiah menarik menanti pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan di mana juara bagi kategori A akan membawa pulang hadiah wang tunai $800, pingat dan piala manakala bagi kategori B pula, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai $1,000, pingat dan piala.

Menurut Chan lagi, setiap pasukan hanya boleh dianggotai sebanyak 12 orang pemain dan borang penyertaan yang lengkap serta yuran pendaftaran hendaklah dikembalikan ke Pejabat Persatuan CHMS Alumni atau di Pejabat Persatuan BBA di Gelanggang Bola Keranjang BBA, Batu Bersurat tidak lewat dari 23 Oktober nanti.

Kejohanan itu akan bermula pada 30 Oktober dan dijangka akan berjalan selama kira-kira sebulan untuk menentukan juara kejohanan berkenaan.

Sehubungan itu, pihak penganjur mengalu-alukan pasukan-pasukan bola keranjang yang berminat untuk mendapatkan borang penyertaan dan mendaftar dengan secepat mungkin kerana penyertaan adalah terhad iaitu hanya 16 pasukan bagi setiap kategori.