Kejohanan bola sepak Jabatan Bandaran

Kejohanan bola sepak Jabatan Bandaran

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Bagi mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan pegawai dan kakitangannya, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan telah mengadakan Kejohanan Liga Bola sepak 11 Sepasukan Tiga Penjuru Antara Bahagian/Unit/Seksyen bermula 30 November lalu, dan hari ini kejohanan itu diteruskan dengan Flywheel FC menentang SP Satu Yunait-Ideu.

Pada perlawanan yang diadakan di Padang Bola sepak Jabatan Bomba dan Penyelamat itu, SP Satu Yunait-Ideu mendahului perlawanan apabila pengadil memberikan sepakan penalti pada awal minit keenam. Empat minit kemudian, Flywheel FC pula dianugerahkan sepakan penalti namun telah disia-siakan oleh pasukan tersebut. Pada separuh masa kedua, Flywheel FC kembali menyamakan kedudukan dan keputusan tersebut kekal hingga ke wisel penamat dengan berkesudahan seri 1-1.

Kejohanan yang dibukakan kepada warga Jabatan Bandaran yang bertugas di ketiga-tiga buah bangunan Jabatan Bandaran iaitu Bangunan Pusat Komersial dan Perdagangan Bumi Putera, Bangunan Ibu Pejabat Jabatan dan Bangunan Bahagian Khidmat Bantu dan Pemeliharaan kenderaan dihasratkan bagi membentuk kesedaran diri supaya sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan cergas serta dapat menjalinkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan para pegawai dan kakitangan

Sesi bergambar ramai di antara pasukan Flywheel FC (jersi biru hitam) dan SP Satu Yunait-Ideu sebelum perlawanan bermula.
Sesi bergambar ramai di antara pasukan Flywheel FC (jersi biru hitam) dan SP Satu Yunait-Ideu sebelum perlawanan bermula.

Di samping itu, ia juga bagi memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan di semua peringkat supaya aktif dalam aktiviti-aktiviti sukan secara terpimpin dan teratur serta dicadangkan sebagai salah satu aktiviti tahunan jabatan tersebut.

Terdahulu, pada perlawanan pembukaan kejohanan tersebut, City Hall menang 4-0 menentang Komersial United, dan pada perlawanan kedua, PTC FT bertemu dengan SPS United berkesudahan PTC FT menang 4-2.

Sebanyak tujuh pasukan menyertai kejohanan liga tersebut yang terdiri daripada warga Jabatan Bandaran iaitu City Hall, Komersial United, PTC FT, SPS United, Flywheel FC, SP Satu Yunait-Ideu dan CP2.

ARTIKEL YANG SAMA