Kejohanan bola sepak veteran 13 Dis ini

Kejohanan bola sepak veteran 13 Dis ini

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Ahli Jawatankuasa Kelab Bola Sepak, MIISA United, telah berbincang mengenai penganjuran Kejohanan Bolasepak Veteran 9-sepasukan, pada mesyuarat yang berlangsung di Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di Berakas, hari ini.

Hadir di mesyuarat tersebut ialah Awang Mohammad Isa bin Haji Marsidi selaku Presiden Kelab MIISA United bersama Awang Jabar bin Ithnin selaku Penasihat Kelab berkenaan. Pada mesyuarat tersebut, Pengerusi Kejohanan, Awang Shari bin Haji Hasim telah memaklumkan kepada ahli yang hadir bahawa kejohanan itu akan diadakan di Padang Kompleks Sukan Sungai Kebun bermula pukul 8 pagi pada 13 Disember 2015.

Sebanyak 16 pasukan yang telah mengesahkan pendaftaran dan akan bermain di Padang A dan Padang B, kompleks sukan berkenaan.

Beliau menambah, pada pukul 2:30 petang 11 Disember 2015, pihak sakretariat akan mengadakan perjumpaan bersama pengurus-pengurus pasukan untuk memberikan taklimat dari aspek undang-undang perlawanan dan undian bagi menentukan kumpulan masing-masing, di Bilik Mesyuarat, Kompleks Sukan Berakas.

Kejohanan itu adalah atas sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) dan Persatuan Bolasepak Veteran (VFA).