Kejohanan Bolasepak Bawah 15 Tahun, 8 Mei

Kejohanan Bolasepak Bawah 15 Tahun, 8 Mei

Oleh Hamdanajib Haji Domeng

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Sebanyak 16 pasukan akan berentap dalam Kejohanan Bola sepak 15 Tahun Kebawah Sembilan Orang Sepasukan anjuran Sahabat 1024 kali ke-2 dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) dan Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara.

Sehubungan itu, satu majlis undian bagi menentukan kumpulan dalam perlawanan itu telah diadakan di Bangunan PPNBD Beribi, baru-baru ini.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Kejohanan tersebut, Haji Jailani bin Haji Ibrahim dalam ucapannya pada majlis tersebut menegaskan kejohanan tersebut merupakan platform pencarian skuad yang bakal membawa nama Pengakap Brunei Darussalam ke peringkat serantau.

Ketika sesi pengundian diadakan.
Ketika sesi pengundian diadakan.

Sebelum acara pengundian, penerangan ringkas mengenai perlawanan itu juga telah disampaikan oleh setiausaha perlawanan yang antara lain menyatakan kejohanan akan berlangsung pada 8 Mei ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, bermula pada jam 8 pagi dan menawarkan hadiah berupa wang tunai, piala iringan dan piala perseorangan kepada tiga pasukan teratas, selain anugerah khas seperti penjaring terbanyak juga menunggu para pemenang.

Pada peringkat awal, setiap pasukan akan berhadapan dengan cabaran peringkat kumpulan sebelum melangkah ke separuh akhir dan peringkat akhir pada hari yang sama.

Dalam pada itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi menyaksikan kejohanan yang juga bakal menampilkan kemunculan Pasukan Brunei DPMM FC untuk mengetuai sesi pemanasan badan sebelum acara dimulakan, di samping penampilan juara bertahan musim lalu, Pasukan Bubuk.

ARTIKEL YANG SAMA