Kejohanan Bolasepak Sembilan Sepasukan kembali

Kejohanan Bolasepak Sembilan Sepasukan kembali

Oleh Hamdanajib Haji Domeng

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Sahabat 1024 dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) dan Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara sekali lagi akan mengadakan Kejohanan Bolasepak 14 tahun Ke Bawah Sembilan Orang Sepasukan kali ke-2 pada bulan Mei nanti.

Sehubungan itu, baru-baru ini telah diadakan Majlis Penyerahan Piala Pusingan iaitu Piala Yang Di-Pertua dan piala iringan yang berlangsung di Bangunan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam di Beribi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian piala pusingan ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas.

Juga Hadir ialah Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Skipper Haji Badar bin Md Ali.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi bersama jawatankuasa kejohanan, Haji Jailani bin Haji Ibrahim, disusuli dengan ucapan oleh Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka AR Haji Idris.

Gambar ramai tetamu kehormat bersama ahli-ahli daripada Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara.
Gambar ramai tetamu kehormat bersama ahli-ahli daripada Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara.
Dato Paduka Haji Idris ketika menyerahkan piala pusingan pada majlis tersebut.
Dato Paduka Haji Idris ketika menyerahkan piala pusingan pada majlis tersebut.

Haji Jailani dalam ucapannya antara lain menegaskan kejohanan tersebut merupakan platform pencarian skuad yang akan membawa nama Pengakap Negara Brunei Darussalam ke peringkat serantau yang bakal diadakan pada Mei nanti.

Majlis diteruskan dengan tayangan imbasan kembali kejohanan yang lepas dan juga diselajurkan dengan penyerahan Piala Yang Di-Pertua kepada PPNBD daripada Juara 2015, Pasukan Bubuk dan penyampaian sijil penghargaan serta cenderahati kepada rakan penaja dan ahli-ahli jawatankuasa musim 2015.

Sebanyak 16 buah pasukan dijangka akan menyertai kejohanan tersebut yang juga akan menawarkan anugerah khas seperti Anugerah Penjaring Terbanyak untuk para peserta.

Pada peringkat awal, pasukan yang terlibat akan melalui cabaran peringkat kumpulan sebelum melangkah ke peringkat separuh akhir dan peringkat akhir pada hari yang sama itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA