Kejohanan Boling Berpasukan Jemputan Daerah Belait

Kejohanan Boling Berpasukan Jemputan Daerah Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Ogos – Persatuan Boling 10 Pin Daerah Belait dengan kerjasama Plaza Sutera Biru telah mengendalikan Kejohanan Boling Berpasukan Jemputan 2015 Peringkat Daerah Belait dari 21 hingga 30 Ogos ini di Grand Seria Bowling Centre, di sini.

Kejohanan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-69 Peringkat Daerah Belait juga diadakan untuk mengenalpasti pemain yang berpotensi untuk diketengahkan bagi mewakili daerah ini ke peringkat kebangsaan.

Selain itu, ia juga diadakan untuk meningkatkan mutu sukan boling di daerah ini melalui persepakatan berpasukan.

Di samping itu, ia juga diadakan untuk memberi peluang kepada pengurus dan pemain bagi mengikuti aktiviti yang dikendalikan oleh persatuan dan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara pengurus dengan pemain yang mengambil bahagian dan sentiasa bergiat aktif dalam bersukan.

Kejohanan yang ditetapkan bermula jam 7:30 malam hingga 10:30 malam itu dibahagikan kepada lapan kategori perseorangan lelaki, perseorang wanita, beregu lelaki, beregu wanita, berpasukan lelaki, berpasukan wanita, masters all event lelaki dan perempuan.

Seramai lapan peserta telah mendaftar untuk menyertai kejohanan tersebut antaranya dari Persatuan Boling 10 Pin Daerah Belait A, Persatuan Boling Separuh Pin Daerah Belait B, Mukim Liang Lumut A, Mukim Liang Lumut B, Mukim Berakas, Mukim Serasa, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC).