Kejohanan Boling Padang Asia bakal bermula

Kejohanan Boling Padang Asia bakal bermula

Oleh Mohamad Asyramiayanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Brunei Darussalam akan menjadi hos bagi Kejohanan Boling Padang Asia ke-11 dan Kejohanan Boling Padang Bawah 25 tahun kali ke-9 Perseorangan bermula 24 Januari hingga 1 Februari nanti.

China, Hong Kong, India, Jepun, Macau, Malaysia, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Brunei Darussalam adalah antara negara yang akan terlibat dalam kejohanan tersebut yang rata-rata merupakan ahli Persekutuan Boling Padang Asia.

Kejohanan tanpa penyertaan Filipina dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kali ini itu akan dibuka rasmi pada 24 Januari oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Daripada penyertaan kali ini itu sejumlah 140 orang termasuk pemain, pengurus dan jurulatih akan berada di negara ini dan terlibat dalam kejohanan yang kali kedua dihoskan negara sejak tahun 2006.

Antara acara yang akan dipertandingkan bagi kejohanan itu ialah acara perseorangan, regu, triple (tiga pemain) dan fours (empat pemain) bagi lelaki dan perempuan, sementara bagi Kategori Remaja pula akan diadakan acara perseorangan dan regu campuran.

Pasukan negara akan menurunkan lapan pemain lelaki dan enam pemain perempuan, manakala seorang pemain remaja lelaki dan perempuan bagi Kategori Remaja Bawah 25 Tahun yang akan menyarung jersi kebangsaan di dalam acara masing-masing.

Dalam persiapan pasukan negara bagi kejohanan ini, pemain-pemain telah mula menjalankan latihan intensif sejak dua bulan yang lalu di samping latihan harian sebelumnya.

Pencapaian terbaik pasukan negara di kejohanan ini adalah semasa menjadi tuan rumah pada 2006 di mana pasukan negara beroleh satu pingat emas, dua perak, tiga gangsa dan kali ini memberikan sasaran tiga pingat emas.