Kejohanan Catur Amatur Asia 2015

Kejohanan Catur Amatur Asia 2015

Oleh Sal

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Persekutuan Catur Brunei (BCF) menjemput semua pemain amatur dari semua persekutuan sehinggalah kepada Persekutuan Catur Asia dengan penarafan FIDE kurang dari 2100, untuk menyertai Kejohanan Amatur Catur Asia yang akan diadakan di Hotel Orchid Garden, Berakas dari 6 hingga 13 September 2015.

Kejohanan edisi keenam ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam dan ditaja oleh Persekutuan Catur Asia.

Kejohanan ini merupakan acara yang agak baru dengan edisi pertama diadakan di Lubnan pada 2010, diikuti di Malaysia pada 2011, Australia pada 2012, Jordan pada 2013 dan Sri Lanka tahun lepas.

Tahun ini, Brunei akan menyediakan cabaran kepada pemain muda FIDE Master, Awang Muhammad Aliuddin bin Haji Azahari dalam bahagian terbuka dan Dayang Siti Nur Fatimah Al-Zahra binti Haji Azahari dalam bahagian wanita.

Hadiah sebanyak AS$6,000 telah disediakan dan akan dibahagikan kepada pelbagai kategori, terbuka (AS$5,000) dan hadiah istimewa untuk kategori lain sebanyak AS$1,000).

Di samping itu, terdapat juga hadiah istimewa disediakan kepada pemain terbaik dari kalangan penduduk tempatan. Selain acara utama, BCF juga akan menganjurkan Kejohanan Blitz Amatur Asia pada 12 September di sebelah petang.

Butiran lengkap kejohanan boleh dimuat turun dalam bentuk PDF dari laman web FIDE: http://www.fide.com atau layari laman web rasmi Persekutuan Catur Brunei, www.bruneichessfederation.com.

Tarikh akhir pendaftaran adalah 1 Ogos dan mereka yang berminat boleh mendaftar dengan menghubungi Awang Kamarunsalehin bin Kamis melalui e-mel: sal_maru@hotmail.com atau di talian (673) 7103887.

ARTIKEL YANG SAMA