Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2016 dibuka

Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2016 dibuka

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Kejohanan Futsal Piala Keputeraan Yang Ke-70 Tahun sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70, 2016 akan berlangsung pada 4, 8 dan 24 September nanti.

Uniknya kejohanan yang kembali semula dianjurkan selepas ‘hilang’ tahun lalu itu akan turut menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan dari luar negara khususnya dari negara jiran, umum Haji Bakar bin Mansor, Penghulu Mukim Lumapas selaku pengerusi bersama kejohanan berkenaan semasa sidang media hari ini.

Menurutnya terdapat pasukan dari negara jiran sudah menempah slot untuk menyertai kejohanan yang menyediakan hadiah lumayan sejumlah $3,100 beserta piala iringan dan pingat bagi empat pasukan terbaik berkenaan.

Kejohanan yang akan diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menjanjikan hadiah wang tunai $1500 untuk juara, $1000 untuk naib juara dan masing-masing $300 untuk dua pasukan yang memenangi tempat ketiga bersama (iaitu pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir).

Beliau menegaskan jumlah pasukan yang boleh menyertai kejohanan itu diterhadkan kepada 40 buah pasukan sahaja menggunakan dasar “Siapa dahulu, ia didahulukan”.

Haji Bakar (kiri) dan Awang Rosdin ketika mengumumkan mengenai Kejohanan Futsal Piala Keputeraan Yang Ke-70 Tahun 2016 yang akan berlangsung September nanti.
Haji Bakar (kiri) dan Awang Rosdin ketika mengumumkan mengenai Kejohanan Futsal Piala Keputeraan Yang Ke-70 Tahun 2016 yang akan berlangsung September nanti.

Dalam pada itu, beliau menyeru pasukan-pasukan tempatan mahupun luar negara yang berminat supaya segera mendaftarkan pasukan masing-masing.

Borang-borang kejohanan boleh diperolehi di Pejabat Daerah di keempat-empat daerah bermula 25 Julai ini pada waktu dan hari pejabat kerajaan dibuka, kongsinya lagi pada sidang media yang mengambil tempat di bangunan Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu.

Pengerusi Bersama Kejohanan, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz menjelaskan bahawa kejohanan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Kejohanan Futsal Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Kejohanan mendapat kerjasama dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), tambahnya.

Rosdin berharap kejohanan kali ini akan menjadi lebih menarik dengan penglibatan atau penyertaan dari pasukan luar negara. Beliau juga turut berharap disamping bersaing secara sihat bagi merebut kejuaraan, kejohanan akan menjadi medan untuk semua pemain untuk menjalinkan tali silaturrahim.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kejohanan tahunan berkenaan, orang ramai yang berminat bolehlah menghubungi pihak penganjur di talian 8669828.

ARTIKEL YANG SAMA