Kejohanan futsal Piala SC dibuka

Kejohanan futsal Piala SC dibuka

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Bank Standard Chartered Brunei secara rasminya mengumumkan pelancaran Kejohanan Futsal Piala Standard Chartered (SC) 2016 pagi tadi semasa sidang media yang diadakan di Priority Banking Centre, Gadong.

Hadir pada sidang media tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Futsal, Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz dan timbalannya Awang Bujang bin Haji Japar.

Piala Standard Chartered 2016 terdiri daripada lima pemain dalam satu pasukan yang bertanding di dalam dewan yang akan bermula pada awal April ini nanti.

Ketua Hal Ehwal Korporat, Bank Standard Chartered, Marylin Graeme berkata, “Bank Standard Chartered telah menjadi penaja utama bagi Pasukan Liverpool FC (LFC) sejak 2009 dan bersama untuk bekerjasama bagi manfaat kedua-dua belah pihak.”

Kejohanan Piala SC memberi peluang kepada peserta untuk merasai pengalaman untuk memenangi pelancongan ke Anfield bagi menyaksikan perlawanan bola sepak di tempat duduk eksekutif dan juga menerima sesi latihan bersama lagenda LFC di akademi LFC”.

(Dari kiri) Awang Rosdin, Marylin Graeme dan Awang Bujang.
(Dari kiri) Awang Rosdin, Marylin Graeme dan Awang Bujang.

“Piala SC juga berperanan bukan sahaja untuk melibatkan diri kepada masyarakat yang minat terhadap bolasepak dan kelab LFC di Brunei, kami juga berharap untuk menyumbangkan dana 100 peratus dari yuran penyertaan yang dikutip.

“Kami juga ingin memberi penghargaan kepada rakan-rakan dari Royal Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) di atas bantuan mereka,” kata Marylin Graeme pada sidang itu.

Tahun lepas, Standard Chartered menganjurkan Piala SC yang menyaksikan pasukan juara, Matahari FC, memenangi kejohanan tempatan dan mewakili Brunei ke peringkat rantau bertemu Malaysia dan Thailand.

Pada tahun ini, sebanyak 24 pasukan akan bertanding untuk berpeluang memenangi tiket pakej melancong ke Anfield bagi kesemua tujuh pemain yang menjuarai kejohanan secara percuma.

Pasukan boleh mendaftarkan diri dengan melayari laman web www.sc.com/bn.

Setiap peserta mestilah rakyat Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap, mempunyai umur lebih 18 tahun dan tidak boleh bertaraf professional atau semi-profesional.

Antara syarat lain yang dikenakan ialah setiap pasukan tidak boleh mempunyai dua pemain yang juga menyertai liga futsal kebangsaan 2015/2016.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 25 Mac, untuk keterangan lanjut, orang ramai juga boleh melayari www.facebook.com/StandardCharteredBN.

ARTIKEL YANG SAMA