Kejohanan Golf Amal Baiduri Masters bermula

Kejohanan Golf Amal Baiduri Masters bermula

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Kejohanan Golf Amal Baiduri Masters Ke-20 bermula hari ini dengan 105 peserta bersaing untuk merebut tempat pada pusingan akhir 10 Mei nanti.

Kejohanan hari ini menyaksikan Awang Ahmad Izzat bin Dato Seri Setia Haji Mohd Zaimi berjaya membuat pukulan hole-in-one di lubang kedua dan memenangi sebuah kereta Porsche Panamera yang bernilai $175,800.

Kejayaan itu menempatkan beliau sebagai pemain kedua yang berjaya membuat pukulan itu dalam 20 tahun sejarah Baiduri Masters selepas Elyas Abdullah Tseu membuat pukulan hole-in-one di lubang yang sama kira-kira tujuh tahun lalu dan memenangi sebuah kereta BMW 730 Li.

Beliau bagaimanapun perlu menunggu sehingga tamat kejohanan pada Ahad ini bagi mengesahkan hadiah itu akan menjadi milik beliau seorang atau terpaksa berkongsi sekiranya ada pemain lain yang berjaya membuat pukulan hole-in-one.

Kejohanan itu bermula dengan pukulan tee-off pertama oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Juara bertahan, Awang Seruji sedang beraksi dalam Kejohanan Golf Amal Baiduri Masters petang tadi.
Juara bertahan, Awang Seruji sedang beraksi dalam Kejohanan Golf Amal Baiduri Masters petang tadi.

Ini diikuti dengan pukulan tee-off Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, Pengiran Irwan bin Pengiran Haji Salleh Ab-Rahaman dan Presiden Jawatankuasa Penganjur Baiduri Masters, Andrew Young.

Pada sesi pagi, juara bertahan Awang Seruji bin Haji Setia muncul sebagai pendahulu kejohanan setelah berjaya mencatat 68 mata Gross sementara Khairol Bakar di tempat kedua dengan 73 mata Gross dan Haji Khairul bin Haji Jamaluddin di tempat ketiga dengan 74 mata Gross.

Haji Md Sharipuddin bin Haji Md Salleh mendapat tempat keempat dengan mengutip 76 mata Gross manakala mengekori di tempat kelima dengan satu mata di belakang pada 77 OCB ialah Hanafiah bin Besar dan di tempat keenam dengan 77 mata Gross ialah Pengiran Ahmad Zaki bin Pengiran Haji Jambol.

Zahrin bin Zunaidi menduduki tempat kelapan dengan 79 mata, Ahmad Izzat bin Dato Haji Md Zaimi di tempat kesembilan dengan 80 mata OCB, Abdul Aziz bin Dato Abdullah di tempat ke-10 dengan 80 mata, Chu Vui Kiat di tempat ke-11 dengan mendapat 81 mata dan Haji Shahminan bin Haji Damit di tempat ke-12 dengan 82 OCB.

Di samping berpeluang menyarung Jaket Hijau dan piala, pemain juga berpeluang membuat pukulan hole-in-one yang menawarkan tiga kereta mewah dan dua hadiah wang tunai yang masing-masing bernilai $20,000.

Selain Porsche Panamera, dua lagi hadiah hole-in-one ialah sebuah kereta Mini One bagi lubang kelima dan sebuah kereta BMW 2 Series Active Tourer bagi lubang ke-14 serta $20,000 masing-masing bagi lubang ke-12 dan lubang ke-16.