Kejohanan Golf Maybank Malaysia 2016 dapat kelulusan

Kejohanan Golf Maybank Malaysia 2016 dapat kelulusan

KUALA LUMPUR, 15 Okt – GlobalOne, sebuah promoter sukan gaya hidup eksekutif tempatan, hari ini mengumumkan bahawa mereka telah memperoleh kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk kejohanan sulung Golf Maybank Malaysia 2016.

Kejohanan tersebut akan diadakan di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) dari 18 hingga 21 Feb depan dengan hadiah wang tunai AS$3 juta.

“Kami amat bersyukur dengan kelulusan dan bimbingan yang diberikan oleh Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman untuk kejohanan akan datang.

“Kelulusan ini adalah penting untuk sebarang acara sukan antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pangkalannya.

“Dengan bimbingan badan-badan yang memberikan pengiktirafan dan sokongan penaja, kami menjangkakan ini merupakan satu era baharu untuk pertumbuhan sukan golf bagi penonton dan sukan profesional di Malaysia dan ASEAN,” kata Pengerusi GlobalOne, Tan Sri Mohd Razali Abdul Rahman, dalam kenyataan. Sementara itu, Pengerusi Maybank,Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata kelulusan Pesuruhjaya Sukan itu mengesahkan usaha Maybank sejak 10 tahun lepas dalam memajukan golf di Malaysia untuk mencapai tahap profesionalisme yang tinggi dan keperluan untuk pendekatan baharu.

“Dengan sokongan beberapa kejohanan PGM dan PGAM serta kejohanan Maybank Malaysia, Februari depan, pemain profesional kita mempunyai lebih banyak peluang untuk mengumpul mata ranking dunia untuk layak ke Sukan Olimpik 2016,” katanya. Megat Zaharuddin berkata kejohanan ini akan menjadi sebahagian daripada rancangan luas Maybank untuk terus menyokong usaha mencapai kecemerlangan sukan golf di Malaysia dan rantau ASEAN. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA