Kejohanan Lumba Perahu Tradisional 8 Nov ini

Kejohanan Lumba Perahu Tradisional 8 Nov ini

Oleh Salawati Haji Yahya & Hasrulraizan

Gambar oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Kejohanan Lumba Perahu Tradisional antara Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab serta Institut Pendidikan Tinggi yang buat julung kalinya dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan akan bermula pada 8 November 2015 di Kompleks Sukan Air, Pantai Serasa.

Dalam usaha menyuntik semangat peserta kejohanan, Majlis Penyampaian Pengayuh dan Jaket Keselamatan kepada para peserta berlangsung hari ini di Kompleks Sukan Air yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar.

Pengiran Suhaimi dalam ucapannya memberi kata-kata semangat kepada peserta kejohanan seterusnya mengingatkan peserta agar menjaga disiplin dan keselamatan selain mengambil peluang dalam latihan hari ini sebagai pengalaman dan persiapan sebelum bertandingan pada Ahad ini nanti.

Sementara itu, beliau turut menyeru guru-guru pengawas mengingatkan para peserta untuk sentiasa menjaga disiplin semasa berada di atas air dan berkayuh secara profesional.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa apa yang penting bagi jabatan, yang mana kejohanan ini merupakan siri pertama diharap ia akan menjadi aktiviti tahunan jabatan dengan kerjasama Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Brunei Darussalam (PERKEBAR).

Pengiran Suhaimi (tengah) ketika menyerahkan pengayuh dan jaket pelampung kepada guru-guru pengawas Pusat Latihan Mekanik.
Pengiran Suhaimi (tengah) ketika menyerahkan pengayuh dan jaket pelampung kepada guru-guru pengawas Pusat Latihan Mekanik.

Ke arah ini, jabatan berusaha merancang mengadakan beberapa pertandingan bersama PERKEBAR dengan menyerapkan ke Regata seterusnya di mana Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi Regata seterusnya yang akan disertai sendiri oleh peserta kejohanan kali ini.

Beliau melahirkan perasaan gembira dengan perancangan yang telah dibuat oleh jabatan hampir setahun telah berjaya terlaksana.

Kejohanan yang dikendalikan bersama PERKEBAR tersebut disertai seramai 140 orang pengayuh dari tujuh buah sekolah menengah, maktab dan institusi pendidikan tinggi di seluruh negara. Antara lain tujuan kejohanan adalah sebagai persiapan awal kepada peserta sebelum menghadapi perlumbaan selain melahirkan pengayuh-pengayuh muda dan pelapis bagi sukan kebangsaan, seterusnya mencungkil bakat peserta untuk diserapkan ke dalam Majlis Sukan Sekolah-sekolah bagi mewakili pertandingan dalam dan luar negara. Kejohanan ini juga menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ingin melihat penglibatan para pelajar sekolah dalam aktiviti sukan lumba perahu.