Kejohanan Olahraga A’bangsa Terbuka Sabah jadi acara tahunan

Kejohanan Olahraga A’bangsa Terbuka Sabah jadi acara tahunan

TAWAU, 31 Ogos (Bernama) – Kejohanan Olahraga Antarabangsa Terbuka Sabah akan dijadikan acara tahunan bagi memastikan negeri ini berada di landasan terbaik dalam sukan berkenaan, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata kejohanan seperti itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada para atlet sedia ada memantapkan diri untuk kejohanan sukan yang lebih besar tetapi juga dapat memberi peluang kepada pencarian atlet akar umbi yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Ini antara langkah kementerian untuk memastikan Sabah berada di landasan terbaik dalam sukan olahraga dan mencapai taraf membanggakan dan mengharumkan nama negara dalam kejohanan lain seperti Sukan Sea dan Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan itu di sini Ahad malam.

Tawfiq berkata kejohanan berkenaan juga mampu memupuk minat pelajar yang datang menyaksikan kejohanan tersebut menceburi sukan ini bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, pihak menyambut baik sokongan semua pihak termasuk swasta, korporat dan badan bukan kerajaan dalam memastikan kelancaran penganjuran kejohanan sukan seperti ini di negeri ini.

“Kita mahu kejohanan ini dijadikan acara tahunan dengan sokongan semua pihak dan diadakan di daerah berlainan seperti Tawau, Keningau, Sandakan, dan Ranau,” katanya.

Pada kejohanan itu, atlet Tawau, Fathian Faqihah Mohd Yusuf muncul sebagai atlet Wanita Terbaik kategori senior dengan mengutip lima emas manakala kategori lelaki pula dimenangi Teo Lee Ke dari Nabawan yang mengutip dua emas.

Kejohanan dua hari yang bermula semalam itu disertai 29 kontinjen termasuk dari Sri Lanka, Singapura, Wilayah Persekutuan Labuan, Melaka dan 25 daerah dari Sabah dengan kontinjen Sekolah Sukan Malaysia Sabah muncul sebagai pasukan terbaik keseluruhan.

ARTIKEL YANG SAMA