Kejohanan Pingpong Se-Borneo bermula

Kejohanan Pingpong Se-Borneo bermula

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Sebanyak enam pasukan termasuk pasukan dari luar negara bakal berentap dalam Kejohanan Pingpong Se-Borneo sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) yang bermula hari ini.

Kejohanan yang diadakan tiga hari sehingga hari Ahad, 15 Mei itu dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim dengan bermain ping pong bersama Presiden Persatuan Ping Pong Brunei Darussalam (BDTTA), Haji Damit bin Haji Abdul Rahman.

Sejurus perasmian tersebut, dua perlawanan telah diadakan iaitu dalam Kategori Lelaki Terbuka antara TKS menentang Dark Horse dan ASBPPC menentang BDTTA.

Sementara pada sebelah petang pula dijalankan tiga perlawanan iaitu dua perlawanan dalam Kategori Remaja iaitu BDTTA lawan TKS dan BDTTA lawan Extreme Table Tennis Training Centre, dan satu perlawanan dalam Kategori Terbuka iaitu Max Team lawan ASBPPC.

Pengiran Anak Mohd Sofian ketika menyampaikan cenderahati kepada salah sebuah pasukan dari luar negara yang menyertai kejohanan itu.
Pengiran Anak Mohd Sofian ketika menyampaikan cenderahati kepada salah sebuah pasukan dari luar negara yang menyertai kejohanan itu.

Kejohanan anjuran BDTTA yang dibahagikan kepada dua kategori berpasukan, Terbuka Lelaki dan Remaja Lelaki & Perempuan itu dijalankan secara liga satu pusingan (round robin).

Kategori Lelaki Terbuka disertai lima buah pasukan iaitu Dark Horse dari Daerah Belait, TKS dari Miri, Sarawak, Max Team dari Brunei Darussalam, ASBPPC dari Brunei Darussalam dan BDTTA sendiri.

Manakala Kategori Remaja disertai tiga buah pasukan iaitu iaitu BDTTA, TKS dan Extreme Table Tennis Training Centre dari Kuching, Sarawak. Ketiga-tiga pasukan itu diwakili oleh pemain-pemain remaja berusia Bawah 15 Tahun (U15) dan Bawah 18 Tahun (U18).