Kejohanan Renang Terbuka Brunei labuh tirai

Kejohanan Renang Terbuka Brunei labuh tirai

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Kejohanan Renang Terbuka Brunei ke-4 2015 melabuhkan tirainya pada hari ketiga, hari ini, dengan 11 acara akhir dipertandingkan di Kompleks Kolam Renang Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Berkenan berangkat untuk menyaksikan kejohanan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Kejohanan pada hari terakhir itu turut disertai oleh anakanda Duli Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim yang mengambil bahagian dalam acara 100 meter gaya bebas lelaki dengan mencatat masa 1:41.44, sekali gus memperbaiki rekod peribadi terdahulu pada 1:41.62.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim turut memperbaiki rekod peribadi 2:31.89 dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu lelaki dengan mencatat masa terbaru pada 2:16.15, sementara dalam acara 50 meter kuak lentang lelaki telah mencatat masa 57.66.

Acara 100 meter kuak kupu-kupu lelaki telah dimenangi oleh perenang Alister Lee Chang Lin dari Persatuan Renang Amatur Miri dengan catatan masa 1:02.80, manakala di tempat kedua ialah Desmond Yong dari Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC) dengan catatan masa 1:05.47 dan ketiga ialah Bryan Chin Bao Yang dari Persatuan Renang Amatur Miri yang mencatat masa 1:10.73.

Gambar Muiz Matdani
Gambar Muiz Matdani
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim mengambil bahagian dalam acara 100 meter gaya bebas lelaki.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim mengambil bahagian dalam acara 100 meter gaya bebas lelaki.

Pemenang bagi acara 100 meter kuak kupu-kupu wanita ialah Domitille Vellaud dari RBRC dengan mencatat 1:31.86, diikuti oleh Shreya Pradhan dari Jerudong Swimming Club dengan masa 1:39.75 dan Sixtine Vellaud dari RBRC di tempat ketiga dengan catatan masa 1:40.23.

Dalam acara relay 4×200 meter gaya bebas lelaki, pasukan RBRC muncul juara dengan catatan 10:16.08 manakala pasukan dari Jerudong Swimming Club di tempat kedua dengan catatan 11:05.90.

Pasukan RBRC juga mengungguli acara relay 4×200 meter gaya bebas wanita dengan mencatat 10:36.89, mengalahkan Pasukan Jerudong Swimming Club yang mencatat 12:49.59.

Dalam acara 800 meter gaya bebas lelaki, pemenang ialah Eric Bong Cheng Liang dari Brunei Speed Swimming Club dengan catatan masa 11:20.49, manakala di tempat kedua ialah Gus Barnes dari Jerudong Swimming Club dengan catatan 12:12.85 dan Gianfranco Sapone dari Kelab Penaga Stingrays di tempat ketiga dengan mencatat masa 12:33.35.

Pemenang bagi acara 100 meter gaya bebas wanita ialah Wan Ying Leong dari Persatuan Renang Amatur Miri yang mencatat 1:02.99, diikuti oleh Ashley Chai dari RBRC yang mencatat 1:06.83 dan Sabrina Jong juga dari RBRC di tempat ketiga dengan catatan 1:09.59.

Acara 100 meter gaya bebas lelaki dimenangi oleh Alister Lee Chang Lin dengan catatan 57:60, sementara itu, tempat kedua disandang oleh Alfred Law dari Dolphin Swimming Club dengan catatan 58:16 dan Desmond Yong dari RBRC di tempat ketiga dengan catatan 58:33.

Alister Lee Chang Lin turut menjuarai acara 50 meter kuak lentang lelaki dengan catatan 30:47, yang diikuti oleh Nur Haziq Samil dari Micia Swimming Team dengan catatan 31:76 di tempat kedua dan ketiga ialah Ivan Chen dari RBRC dengan catatan 33:42.

Acara 50 meter kuak lentang wanita juga dijuarai oleh Wan Ying Leong dengan catatan 32:98, kedua ialah Ashley Chai dengan catatan 33:64 dan ketiga ialah Sally Jong Xin Le dari RBRC dengan catatan 38:15.

Seramai 213 orang perenang daripada 10 buah persatuan renang tempatan dan sebuah persatuan renang dari Miri, Sarawak mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

ARTIKEL YANG SAMA