Kejohanan Sepak Takraw B21 buka tirai

Kejohanan Sepak Takraw B21 buka tirai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Juara bertahan Pasukan Sengkurong membuka tirai Kejohanan Sepak Takraw Terbuka 21 Tahun Ke Bawah hari ini dengan kemenangan bergaya menewaskan Pasukan Belait C dengan mata 21-10, 21-4.

Pasukan yang diterajui Awang Abdul Wasi, Awangku Rafiuddin dan Awang Azri itu tampak lebih bertenaga meskipun pertahanan Pasukan Belait C perlu diberikan pujian terutama pada set pertama untuk mengekang libasan Ketua Pasukan Sengkurong, Awang Abdul Wasi.

Namun pada perlawanan kedua, juara bertahan itu terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Pasukan Perkasa yang berjaya meraih tiga mata penuh dengan kemenangan 16-21 dan 19-21.

Perlawanan pembukaan itu berlangsung di Kompleks Sukan Menglait sejurus selepas undian perlawanan dibuat oleh tetamu kehormat majlis iaitu wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas kanan, Dayang Mariam binti Ulat.

Terlebih dahulu majlis pembukaan rasmi menyaksikan Presiden Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU), Pengiran Ali Hassan bin Pengiran DSLJ Haji Abbas menyampaikan ucapan alu-aluannya diikuti dengan perasmian oleh tetamu kehormat majlis.

Antara aksi perlawanan pembukaan kejohanan itu.
Antara aksi perlawanan pembukaan kejohanan itu.

Tetamu kehormat seterusnya berpeluang beramah mesra bersama pengurus-pengurus serta perwakilan pasukan yang terlibat dalam kejohanan itu sebelum mencabut undi bagi saingan perlawanan pertama.

Keputusan-keputusan perlawanan lain, Perkasa menang ke atas Belait A (21-11, 12-21, 10-21), Ehzid Team menang ke atas Belait B (21-15, 21-12), Muara Spurs menang ke atas BTTJ FC (21-16, 21-13), Ehzid menang ke atas Muara Spurs (21-12, 22-20), BTTJ FC tewas ke atas Belait B (21-10,21-16) dan Belait C tewas ke atas Belait A (21-13, 21-15).

Kejohanan akan diteruskan pada Ahad ini nanti dengan beberapa lagi perlawanan dalam kedua-dua kumpulan yang disertai oleh Sengkurong, Belait C, Belait A dan perkasa dalam Kumpulan A sementara Pasukan Ehzid Team, Belait B, Muara Spurs dan BTTJ FC pula bersaing dalam Kumpulan B.