Kejohanan Sepak Takraw bakal bermula

Kejohanan Sepak Takraw bakal bermula

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Pantai bagi tahun 2016 pada 22 Mei ini di Gelanggang Pantai JBS Menglait, Gadong.

Sehubungan dengan itu, PESTABARU mengalu-alukan penyertaan dari pelbagai persatuan-persatuan, kelab-kelab, majlis perundingan mukim dan kampung, pihak sekolah dan maktab. Borang penyertaan bolehlah didapati daripada Haji Zaman bin Haji Samad di talian 8825580 sehingga tarikh tutup penyertaan pada 19 Mei, jam 4 petang.

Setiap kemasukan akan dikenakan bayaran sebanyak $20 setiap regu. Sementara itu, pada 20 Mei nanti akan diadakan mesyuarat mengenai pengurus-pengurus pasukan dan cabutan undian.

Media Permata berkesempatan menemu bual Presiden PESTABARU, Pengiran Haji Alihassan mengenai penganjuran sukan tersebut dan perkembangan terkini persatuan berkenaan.

Pengiran Haji Alihassan ketika ditemu bual Media Permata.
Pengiran Haji Alihassan ketika ditemu bual Media Permata.

“Kejohanan sepak takraw pantai ini sememangnya berlainan berbanding sepak takraw yang biasa dengan empat pemain dan peraturan tertentu, dan ia merupakan salah satu sukan yang sering menyalurkan pungutan pingat bagi skuad negara di Pesta Sukan Pantai Asia seperti yang berlangsung di Thailand,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pasukan Brunei tidak pernah tewas pada peringkat separuh akhir baik sepak takraw yang biasa ataupun pantai dan ini membuktikan kemampuan anak tempatan dalam sukan yang kian digemari di peringkat antarabangsa ini.

“Tahun ini pasukan kebangsaan akan menyertai kejohanan anjuran Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada Ogos nanti dan banyak lagi kejohanan domestik yang bakal mewarnai persada raga tempatan.” Jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA