Kek Lapis Sarawak laris di Baling

Kek Lapis Sarawak laris di Baling

BALING, 23 Julai – Tidak disangka kek lapis Sarawak turut dijual di sini dan mendapat permintaan baik.

Lebih istimewa kek ini dijual pasangan orang kurang upaya (OKU) kategori bisu.

Kek mempunyai sembilan perisa ini diusahakan oleh Ayu Azura Adinan, 33, dan suaminya Mohd Nawawi Zakaria, 32, di rumah mereka di Jalan Weng.

Ayu Azura yang pernah belajar di Sekolah Vokasional Shah Alam, Selangor berkata kek mereka mempunyai perisa vanila cheese chocolate, tembikai, vanila kismis, oreo, evergreen, pandan coklat, empat rasa, pelangi dan asam manis.

Dengan menggunakan bahasa isyarat dan menulis di atas kertas, beliau memberitahu Bernama, beliau belajar membuat kek lapis Sarawak melalui Internet sejak tiga tahun lalu dan mula menjualnya sejak dua tahun lalu.

“Permintaan baik diterima daripada pembeli di pasar hari dan pasar malam selain kami menerima tempahan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Alhamdulillah, dalam seminggu kami boleh dapat sehingga RM350 dan lebih lagi ketika Aidilfitri lepas,” kata Ayu Azura.Kek mereka dijual dengan harga RM10 (400 gram) dan RM27 untuk tiga biji dan RM85 bagi 10 biji.

Mohd Nawawi pula yang pernah belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Pulau Pinang memberitahu buat masa ini mereka hanya menjual di pasar malam dan pasar hari di pekan ini dan sedang berusaha untuk mendapatkan gerai tetap. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA