Kekal destinasi Islam global

Kekal destinasi Islam global

SINGAPURA, 23 Mac (Bernama) – Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi teratas dalam pasaran pengembaraan Islam global, kata Indeks Pengembaraan Islam Global (GMTI) 2016 oleh MasterCard-CrescentRating.

Malaysia juga mengekalkan kedudukan pertama dalam senarai destinasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menurut penemuan kajian yang dijalankan syarikat berkenaan.

Kajian itu juga menunjukkan pada 2015, terdapat kira-kira 117 juta pelawat Islam di seluruh dunia, iaitu hampir 10 peratus daripada pasaran pengembaraan keseluruhannya.

Ia diunjurkan akan berkembang kepada 168 juta pelawat menjelang 2020, iaitu 11 peratus daripada segmen pasaran dengan nilai perbelanjaan melepasi AS$200 bilion (RM600 bilion).

Asia dan Eropah adalah dua rantau utama di dunia yang menarik ketibaan pelawat Islam, menyumbang 87 peratus daripada keseluruhan pasaran.

“GMTI 2016 MasterCard-Crescent-Rating kini menjadi alat nombor satu untuk destinasi di seluruh dunia menyusun semula strategi mereka untuk menarik pengguna Islam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating & HalalTrip, Fazal Bahardeen dalam satu kenyataan hari ini.

“Satu daripada trend terbesar yang kita lihat ialah destinasi bukan OIC menjalankan usaha bersepadu untuk menarik pelancong Islam dan mereka kini merupakan lebih 63 peratus destinasi diliputi dalam GMTI.

“Contohnya, Jepun dan Filipina telah mengambil beberapa langkah penting beberapa bulan lepas untuk mempelbagaikan ketibaan pelawat dan seterusnya meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Malaysia mencatat skor indeks 81.9 diikuti Emiriyah Arab Bersatu pada 74.7 dan Turki, 73.9.

Skor tertinggi destinasi bukan OIC ialah Singapura yang mencatat 68.4 dan diikuti Thailand pada 59.5. Daripada perspektif serantau, destinasi Asia Pasifik menerajui dengan purata skor GMTI 56.5.

“Banyak destinasi yang sudah berjaya di seluruh dunia merancang mempelbagaikan asas ketibaan pelawat mereka bagi mengekalkan kadar pertumbuhan pelancong dalam pasaran pengembaraan yang semakin kompetitif,” kata Matthew Driver, Eksekutif Kumpulan, Produk dan Penyelesaian Global Asia Pasifik MasterCard.

“Segmen pengembaraan Islam yang berkembang pesat adalah satu peluang, tetapi untuk mendapat manfaat daripadanya, adalah penting untuk memahami keperluan dan pilihan pengembara Islam dan bagaimana untuk menyesuaikan produk dan perkhidmatan untuk mereka.

“Kami percaya GMTI menawarkan nilai sebenar kepada perniagaan dan kerajaan yang merancang memanfaatkan segmen pasaran yang penting dan sedang berkembang ini,” tambahnya.

GMTI melihat kepada data mendalam meliputi 130 destinasi, meningkat daripada 100 yang diliputi dalam indeks 2015.

Ia membantu penyedia perkhidmatan pengembaraan dan pelabur menjejaki kesihatan dan pertumbuhan segmen pengembaraan ini serta menandakan aras kemajuan mereka dalam mendekati pasaran yang semakin berkembang ini.

Semua 130 destinasi dalam GMTI diberi skor berasaskan beberapa kriteria, termasuk kesesuaian sebagai destinasi percutian keluarga, tahap perkhidmatan dan kemudahan disediakan, pilihan penginapan, inisiatif pemasaran serta ketibaan pelancong.