Kekal relevan dalam perubahan

Kekal relevan dalam perubahan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Dengan kewujudan pelbagai cabaran yang semakin rumit dalam suasana yang pesat berubah, amat penting bagi semua pihak untuk meningkatkan lagi kerjasama di antara satu sama lain dalam menangani cabaran-cabaran berkenaan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab penggubal dasar untuk menghadapi dan menangani perubahan berkenaan, menyesuaikan diri untuk terus kekal relevan serta memastikan mereka sentiasa selari dengan kadar perubahan itu.

Penekanan itu dinyatakan oleh Pemangku Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit ketika berucap pada Majlis Penutup Program Pembangunan Eksekutif (EDP) bagi Pengurusan dan Dasar Awam untuk Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan ke-12 yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini.

Beliau juga berkata bahawa kepimpinan menjadi semakin penting dalam memberikan perkhidmatan yang bermanfaat kepada sesebuah organisasi dan negara.

Di samping itu, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menekankan urus tadbir yang baik dengan berasaskan kepada prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law), akauntabiliti, ketelusan, efektif dan efisien, saksama, menyeluruh serta sedar atau peka kepada nilai-nilai dan kepercayaan teras negara adalah amat penting dalam penggubalan dasar.

Pemangku Menteri Pertahanan menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta program EDP ke-12.
Pemangku Menteri Pertahanan menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta program EDP ke-12.
Di antara yang menghadiri majlis itu, kelmarin.
Di antara yang menghadiri majlis itu, kelmarin.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, duta-duta, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua perkhidmatan, timbalan-timbalan setiausaha tetap, penasihat pertahanan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

Terdahulu sebelum itu, Dekan Penyelidikan dan Pendidikan Eksekutif dari Lee Kuan Yew School of Public Policy (LKY School), Universiti Kebangsaan Singapura, Profesor Donald Low menyampaikan kata-kata aluan mengenai pelaksanaan serta matlamat program pembangunan eksekutif berkenaan. Wakil peserta EDP ke-12, Leftenan Kolonel Haji Mohd Huzaimi bin Pehin Datu HarimauPadang Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Husin juga mengongsikan pengalaman para peserta sepanjang program termasuk lawatan ke agensi-agensi kerajaan di mana mereka berpeluang untuk mendengar taklimat mengenai dasar-dasar yang dilaksanakan.

Seramai 26 orang peserta menyertai program EDP ke-12 yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari ABDB, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pejabat Peguam Negara, Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi Brunei Darussalam (AITI). Di samping itu, Kementerian Pertahanan turut menaja pegawai-pegawai kanan tentera dari negara-negara sahabat untuk menyertai program berkenaan iaitu dari China, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

ARTIKEL YANG SAMA