Kekal warisan menambang syair

Kekal warisan menambang syair

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Guru-guru sekolah menengah dan pusat tingkatan enam hari ini didedahkan dengan kemahiran menambang syair dalam Bengkel Syair Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 2015 yang berlangsung di bangunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum di ibu negara.

Guru-guru ini mewakili 16 buah sekolah bagi mempelajari kemahiran menambang syair terutamanya dari segi nada, intonasi dan gaya yang sesuai agar kandungan tersurat dan tersirat satu syair itu dapat disampaikan dengan baik kepada para pendengarnya.

Bengkel itu bukan sahaja mendedahkan mereka kepada cara-cara melantun syair, malahan memberigakan mengenai syair perlembagaan agar mereka dapat mendidik pelajar cara bersyair dengan baik.

Ini bagi membolehkan pelajar mereka menyertai Pertandingan Menambang Syair Perlembagaan Negara Brunei 2015 yang akan diadapan pada 1 September kelak, bagi menambang syair karya Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saiffuddien Sa’adul Khairi Waddien sempena Hari Perlembagaan Brunei Darussalam.

Pertandingan anjuran Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja itu dikelolakan oleh Unit Akli, Jabatan Pendidikan Kokurikulum sebagai usaha mendidik anak-anak bangsa terutamanya generasi muda agar menghargai dan mengekalkan warisan tradisi. Ia juga bagi mengukur sejauh mana kefahaman dan penghayatan generasi muda terhadap falsafah Melayu Islam Beraja. Selain itu, ia pertandingan yang diharap dapat menyerapkan pengetahuan dan kemahiran menambang syair khususnya Tambang Begawan dan menghayati pemikiran serta apa yang tersurat dan tersirat dalam Syair Perlembagaan Negeri Brunei 1959.

ARTIKEL YANG SAMA