Kekalahan beri peluang baiki permainan – Steve

Kekalahan beri peluang baiki permainan – Steve

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – DPMM FC tersungkur ke tangga ke-5 Liga Singapura apabila tidak berjaya memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri menentang Tampines Rovers FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah kelmarin.

Kekalahan 2-1 itu sekali gus membuka ruang kepada Hougang United yang berjaya menewaskan Balestier Khalsa untuk selesa di persada liga apabila meraih tiga mata penuh dengan jaringan 1-0.

Billy Mehmet daripada Tampines Rovers membuka tirai jaringan sebelum kedudukan menjadi 2-0 hasil jaringan Jordan Webb, manakala jaringan Brunei DPMM FC dijaringkan oleh pemain tinggi lampai Brunei DPMM FC, Ramazotti.

Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean menyatakan perasaan kecewa dengan keputusan itu, namun padanya ia adalah pengajaran yang baik untuk pasukan DPMM FC kerana secara terus katanya beliau tidak melihat pemain yang menarik seperti yang dihasratkan.

“Serangan sangat mudah menembusi petak D kita dan berjaya merobek pertahanan kita dua kali meskipun kita tidak berjaya memanfaatkan peluang untuk menyamakan kedudukan,” ujarnya.

Namun begitu beliau optimistik dengan adanya barisan pemain muda Brunei DPMM FC, dan daripada kekalahan itu akan memberikan pendedahan kepada mereka sebagai pengajaran untuk memperbaiki permainan.

“Apa yang merisaukan kita adakah jika kita tidak tahu apa yang menyebabkan kita kalah dan saya percaya kerana kita tidak bermain seperti mereka dan dahaga untuk menang yang mereka pamerkan jauh lebih daripada kita dalam perlawanan itu.” tegasnya lagi.

Sementara itu Ketua Jurulatih Tampines pula menegaskan mereka bernasib baik untuk mendahului 2-0 dan ia memberikan kelebihan kepada mereka untuk menghalang kemaraan Brunei DPMM FC.

“Dengan adanya jaringan DPMM FC melalui Ramazotti memberikan tekanan kepada kami dan kami sangat lega apabila kami berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat setelah Afiq Yunos dilayangkan kad merah selepas mengasari Sergio pada 10 minit terakhir,” tegas Sundra Moorthy.