Kekalkan hubu...

Kekalkan hubungan kerajaan dan penduduk

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Dalam usaha untuk meningkatkan dan mengekalkan hubungan baik dua hala antara pihak kerajaan dan juga penduduk mukim, Jabatan Penerangan telah mengadakan Program Muzakarah Penerangan (PMP) bagi Mukim Kilanas tahun 2017 yang telah berlangsung di Dewan Kemasyarakatan, Mukim Kilanas, hari ini.

Muzakarah itu dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad.

Beliau dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa PMP adalah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berangkat ke Majlis Penyerahan Anak-anak Kunci Rumah Lambak Kanan Peringkat 1 pada 15 Februari 1992.

Menurutnya, PMP yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Perjumpaan Muhibah Penerangan mula diperkenalkan semula setelah dibangkitkan semasa Mesyuarat Pertama Musim Permesyuaratan ke-11 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2015.

“Selaras dengan fungsi dan tanggungjawab Jabatan Penerangan selaku lidah, mata dan telinga kerajaan, menerusi PMP ini, maklumat-maklumat seperti isu-isu semasa dan dasar kerajaan dapat diperjelaskan dan dikongsikan bersama, di samping menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan,” ujarnya.

Awang Mawardi ketika menyampaikan ucapannya.
Awang Mawardi ketika menyampaikan ucapannya.

Di samping itu, program juga menjadi pemudah cara bagi penduduk mukim dan kampung untuk menyampaikan pandangan atau isu-isu permasalahan yang dihadapi dan pada waktu yang sama untuk mendapat jawapan atau penjelasan daripada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Selain itu juga untuk memperlihatkan betapa sikap prihatin dan pemedulian pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Maka, tambah beliau, melalui wadah ini, jelas kelihatan hubungan baik di antara pihak kerajaan dengan masyarakat mukim dan kampung akan terjalin serta mewujudkan kemakmuran dan keharmonian penduduk mukim dan kampung demi memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Beliau berharap dengan apa juga ulasan dan penerangan daripada pihak agensi yang berkaitan tentang rancangan kerajaan akan diterima dengan baik dan akan dapat membantu menangani dan mengatasi segala isu permasalahan dan sungutan penduduk mukim dan kampung.

Ahli-ahli panel program muzakarah itu terdiri daripada ketua-ketua jabatan, penolong ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

PMP diharap akan dapat merapatkan lagi hubungan mesra yang terjalin antara kerajaan amnya dan Jabatan Penerangan khususnya dengan penduduk mukim.

Menerusi program ini, ia memberikan peluang kepada penduduk mukim untuk mengutarakan isu-isu permasalahan yang dihadapi bagi pertimbangan pihak agensi-agensi kerajaan, dalam masa yang sama ia juga memberikan peluang kepada agensi-agensi kerajaan untuk memberikan penerangan dan penjelasan kepada penduduk mukim mengenai dengan isu-isu yang dibangkitkan.

Turut hadir pada sesi muzakarah itu ialah penghulu Mukim Kilanas, ketua-ketua kampung dari Mukim Kilanas, pegawai-pegawai kanan, pegawai atau pengamal perhubungan awam, pegawai dan kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA