Kekalkan kebersihan tempat kerja

Kekalkan kebersihan tempat kerja

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 16 Dis – Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kebersihan di kawasan tempat kerja dan balai, Daerah Polis Tutong dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah Tutong, pagi tadi, telah mengadakan kempen kebersihan.

Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Supt Haji Chipli bin Haji Mohamad semasa menyampaikan ucapannya menjelaskan, inisiatif kempen kebersihan itu diadakan adalah untuk mendukung dan menyokong penuh usaha Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Daerah Tutong bagi menyalurkan maklumat tentang penyakit yang disebarkan oleh nyamuk.

Melalui inisiatif tersebut, kempen kebersihan akan dimulakan di kawasan tempat kerja dan dilaratkan ke kawasan tempat tinggal para anggota Pasukan Polis Diraja Brunei khususnya anggota yang bertugas di Daerah Polis Tutong, jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau juga menekankan bahawa kebersihan amat dititikberatkan kerana Daerah Polis Tutong merupakan salah satu lokasi strategik di Pekan Tutong dan merupakan tempat yang sentiasa dikunjungi orang ramai.

Gambar ramai bersama anggota polis yang terlibat semasa kempen kebersihan kelmarin.
Gambar ramai bersama anggota polis yang terlibat semasa kempen kebersihan kelmarin.
Kempen yang dijalankan di kawasan Daerah Polis Tutong.
Kempen yang dijalankan di kawasan Daerah Polis Tutong.

Beliau juga menyeru Pegawai Menguasa Balai untuk mengadakan kempen kebersihan secara kerap bagi mengelakkan sebarang penyakit yang dibawa oleh nyamuk, selain dapat mencantikkan lagi suasana balai itu sendiri khususnya Daerah Polis Tutong.

Sebelum kempen kebersihan itu dijalankan, taklimat ringkas mengenai pentingnya kebersihan dan jenis-jenis nyamuk, penyakit yang disebarkan, tempat-tempat pembiakan dan cara pengawalannya telah disampaikan oleh Pegawai Merinyu Kesihatan Kanan di Jabatan Kesihatan Daerah Tutong, Dayang Hamriah binti Hamdan.

Majlis turut diselajurkan dengan pengagihan poster dan pamflet kepada pegawai-pegawai Daerah Polis Tutong yang disempurnakan oleh Pegawai Kesihatan Kanan di Jabatan Kesihatan Daerah Tutong, Koh Kik Fok dan seterusnya penyampaian cenderahati.

ARTIKEL YANG SAMA