Kekalkan semangat saling menghormati, toleransi tinggi

Kekalkan semangat saling menghormati, toleransi tinggi

KOTA KINABALU, 24 Dis (Bernama) – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mahu rakyat terus memupuk dan mengekalkan semangat saling menghormati dan toleransi tinggi bagi membolehkan perayaan setiap kaum disambut secara bersama-sama dalam suasana aman dan muhibah.

Beliau berkata amalan meraikan apa juga perayaan adalah cara dan budaya di negeri ini dan negara yang penuh dengan kesepakatan dan semangat harmoni.

“Kita sentiasa bersedia menerima dan menghargai kepelbagaian antara satu sama lain serta menghormati keunikan adat dan budaya sehingga menjadikan (sesuatu) perayaan lebih bermakna,” katanya dalam perutusan Hari Krismas yang disambut esok.

Musa berkata rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, juga perlu terus bersatu padu dalam menghadapi apa juga cabaran terutama berdepan dengan pelbagai tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba melemahkan perpaduan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya jangan mensia-siakan pengorbanan pemimpin terdahulu yang berjuang untuk kemerdekaan negara selain tidak membiarkan mana-mana tindakan tidak bertanggungjawab menjejaskan segala pembangunan dan kemajuan yang dikecap selama ini.

Dalam pada itu, Musa selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata, pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Tumur Sabah (Esscom) dan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) memberi keyakinan kepada pelancong dan pelabur bagi menjana pertumbuhan dan peningkatan ekonomi selain memastikan keamanan negeri dan keselamatan rakyat terjamin.

Ketua Menteri juga mengambil peluang menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang sanggup berkorban meninggalkan keluarga pada perayaan ini demi menjalankan tugas serta tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.