Kekalkan tradisi doa awal tahun

Kekalkan tradisi doa awal tahun

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa doa akhir dan awal tahun yang dibaca pada setiap kali masuk Tahun Baru Hijrah adalah ‘doa besar’ di mana impaknya adalah sangat hebat, mampu untuk menjadikan negara dan kehidupan sejahtera.

“Marilah kita banyak-banyak bersyukur kerana dapat pula menyambut dan memasuki Tahun Baru Hijrah dengan segala keselesaan. Acara utama kita pada setiap menjelangnya awal Hijrah ialah membaca doa akhir dan awal tahun di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat.

“Acara ini sangat unik dan penting kerana tidak ada yang lebih penting dari merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala. Doa itu adalah perkara agung kerana apabila berdoa bererti kita adalah sedang berurusan dengan Allah Ta’ala, siapa yang maha agung.

“Kita memohon di dalam tahun baru ini supaya Allah memeliharakan kita daripada syaitan,” jelas Baginda dalam titah Perutusan Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Hijrah 1437 yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara malam ini.

Menurut Baginda, doa ini adalah ‘doa besar’ dan jika Allah menerimanya bermakna kita dan negara Insya Allah, akan bebas dari segala macam pesona syaitan, pembantu-pembantu dan askar-askarnya, serta bebas daripada asakan-asakan nafsu amarah (nafsu yang jahat), yang menjerumuskan manusia kepada pelbagai kejahatan dan dosa.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sempena Menyambut Awal Tahun Baru Hijrah 1437.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sempena Menyambut Awal Tahun Baru Hijrah 1437.
Baginda Sultan semasa berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1437 Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. – Gambar oleh Muiz Matdani
Baginda Sultan semasa berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1437 Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Oleh itu, marilah kita bersungguh-sungguh menghayati doa awal tahun dengan niat semata-mata untuk mengharapkan kurnia Allah jua, siapa yang di tangan-Nya terkumpul segala kuasa dan kemurahan. Semoga kita sekalian tidak dihampakan.

“Sementara doa akhir tahun pula, kita ada menyebut perkara-perkara yang telah lalu. Kita munajat kepada Allah, sekiranya terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi tegahan-Nya, yang dilakukan di sepanjang tahun dan kita pula belum lagi bertaubat, maka dengan segala redha diri, kita pun memohonkan belas kasihan-Nya supaya menerima taubat dan mengampunkan dosa-dosa kita.”

Titah Baginda, doa kita pada setiap tahun itu adalah benar-benar menjadi punca kepada kebajikan bersama.

“Dengan rahmat-Nya jua, negara ini benar-benar bebas daripada sebarang kemelut. Rakyat hidup bersatu hati, tiada pergaduhan atau pertelingkahan yang membebankan. Bahkan semuanya adalah berjalan dengan baik.”

“Yang kita tahu pun doa akhir dan awal tahun itu hanyalah rutin biasa sahaja. Tetapi Beta penuh yakin bahawa rutin inilah satu kelebihan untuk kita di mana impaknya adalah sangat hebat, mampu untuk menjadikan negara dan kehidupan sejahtera.

“Betapa tidak, isu kedua-dua doa tersebut, jika Allah memperkenankannya, tidak diragukan lagi, semua kebaikan adalah milik kita.

“Di dalam doa akhir tahun, kita meminta supaya Allah mengampunkan segala dosa dan menerima taubat kita, sementara dalam doa awal tahun pula kita memohon agar Allah melindungi kita daripada kejahatan syaitan, pembantu-pembantu dan askar-askarnya serta meminta supaya jangan dipesongkan oleh nafsu yang jahat.

“Andainya doa-doa ini diterima oleh Allah, maka tidakkah ini satu jaminan untuk kita meraih segala kebaikan berupa keselamatan, kebahagiaan, kemakmuran dan lain-lain?

“Beta penuh percaya, doa kita ini telah dimakbulkan oleh Allah. Lalu kerana itu, berlakulah apa yang patut berlaku, negara jadi aman, rakyat dan penduduk hidup bahagia di bawah pengurusan dan pemerintahan yang adil saksama, kerana syaitan dan konco-konconya telah tewas, tidak dapat mencampuri segala urus tadbir kehidupan di negara ini. Allahu Akbar, Maha Besar Allah yang mengurniakan semua ini.

“Tidak syak lagi, doa adalah ‘survival’ kita, ‘survival’ negara. Makanya tradisi mengisi tahun baru Hijrah dengan doa ini adalah wajar diteruskan dan malah dikekalkan.

“Akhirnya, mengambil kesempatan di sini, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1437 kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana saja mereka berada, dengan harapan semoga kita semua dapat berjumpa lagi di tahun hadapan.”

ARTIKEL YANG SAMA