Kekalkan waktu operasi di sempadan

Kekalkan waktu operasi di sempadan

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 31 Ogos – Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah meminta kerajaan mengekalkan operasi di pintu masuk Malaysia-Brunei sehingga jam 12 tengah malam seperti yang diguna pakai sekarang meskipun Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk mengkaji kemungkinan menyeragamkan waktu penutupan sempadan di seluruh negara.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan kedudukan Limbang yang terpisah dengan negara jiran Brunei Darussalam dan menyukarkan rakyatnya untuk keluar masuk khususnya sekiranya berlaku kecemasan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Miri.

Tegas beliau, sekiranya cadangan penyeragaman itu dilaksanakan ia seolah-olah menyekat kebebasan rakyat Limbang untuk keluar masuk dan perlu melalui Brunei untuk perjalanan ke kawasan lain.

“Saya sebagai wakil rakyat meminta kerajaan agar mengkaji perkara ini sedalamnya termasuk mengekalkan operasi di pintu masuk Malaysia-Brunei sehingga jam 12 tengah malam seperti yang diguna pakai sekarang,” katanya pada Sambutan Hari Kebangsaan Daerah Limbang 2016 di Dataran Jubli Emas di sini hari ini.

Hadir sama ialah ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Datu Maria Hasman, wakil Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi, Timbalan Residen Pembangunan Selamat Jati Yanjah dan Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat.

Sebelum ini, KDN akan mengkaji kemungkinan menyeragamkan waktu penutupan sempadan di seluruh negara termasuk kemungkinan diawalkan.Ia sebagai satu langkah mengatasi masalah sosial seperti penyeludupan dadah dan senjata api.

Timbalan Menterinya Masir Kujat berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri KDN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan langkah itu dan mencadangkan agar semua pintu sempadan ditutup jam 6 petang.

Hasbi dalam pada itu, mahu kerajaan memahami keperluan dan hasrat hati rakyat di daerah ini yang mahu langkah melanjutkan operasi sehingga tengah malam dikekalkan.