Kekuatan mental Arsenal dipuji

Kekuatan mental Arsenal dipuji

LONDON, 6 Dis – Barisan pemain Arsenal menunjukkan kekuatan mental yang diperlukan pengurusnya, Arsene Wenger biarpun Oliver Giroud meledak gol untuk kedua-dua pasukan bagi menewaskan Sunderland 3-1 sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Dengan aksi bertemu Olympiakos Piraeus dalam saingan Liga Juara-Juara, minggu depan menjadi fokus dan lapan pemain ketika ini dalam senarai kecederaan, Arsenal sememangnya memerlukan kemenangan selepas tiga perlawanan liga yang mengecewakan.

“Saya lebih gementar hari ini (awal pagi tadi) berbanding kebiasaannya kerana saya sedar ia adalah perlawanan penting untuk kami musim ini.

“Kami mudah hilang fokus dan gementar pada babak pertama menentang pasukan yang sangat teratur selain pantas dalam serangan balas. Namun, di babak kedua, saya fikir kami menunjukkan kekuatan mental dan kemahuan tinggi dalam permainan kami.

Aaron Ramsey ketika menjaringkan gol ketiga Arsenal. - Reuters
Aaron Ramsey ketika menjaringkan gol ketiga Arsenal. – Reuters

“Mungkin keseluruhannya tidak sempurna tetapi pasukan menunjukkan kekuatan mental tinggi selepas gol sebelum rehat,” kata Wenger.

Giroud menjaringkan gol sendiri yang membantu Sunderland menyamakan kedudukan 1-1 selepas Joel Campbell meletakkan The Gunners di depan pada minit ke-33. Ia adalah satu-satunya percubaan tepat yang dilakukan tuan rumah pada babak pertama dengan Sunderland dilihat lebih banyak mencipta peluang.

Biarpun selepas Giroud menjaringkan gol pada babak kedua, Sunderland masih dilihat mampu untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri sebelum Aaron Ramsey melengkapkan kemenangan Arsenal pada lewat perlawanan. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA