Kelab bola jaring seharusnya sokong BNA

Kelab bola jaring seharusnya sokong BNA

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Kelab-kelab bola jaring di negara ini seharusnya menyokong Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam (BNA) dan bukannya menganggap BNA sebagai pesaing atau tandingan yang tidak kena pada tempatnya.

Perkara tersebut ditekankan oleh Yang Di-Pertua BNA, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim semasa Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam bagi Kejohanan Bola Jaring Remaja Bawah 21 Tahun (B21) ke-9 di Hong Kong.

Menurutnya, sokongan kepada badan induk seperti BNA yang berusaha keras untuk meningkatkan sukan bola jaring negara ini seharusnya disokong dan dibantu.

“Dengan tingkah laku seperti ini juga ada di antara kelab-kelab yang tidak mahu melepaskan pemain-pemain mereka untuk dilatih di bawah Pasukan Kebangsaan. Jika bersifat begini, ke manakah perginya slogan “Maju Sukan Untuk Negara’ yang sering dilaung-laungkan?” soal Datin Paduka Hajah Intan.

Datin Paduka Hajah Intan ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam bagi Kejohanan Bola Jaring Remaja Bawah 21 Tahun (B21) ke-9 di Hong Kong.
Datin Paduka Hajah Intan ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam bagi Kejohanan Bola Jaring Remaja Bawah 21 Tahun (B21) ke-9 di Hong Kong.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengambil kesempatan memuji Pengadil Bola Jaring Kebangsaan, Awang Asmawi bin Haji Sulaiman dan Kelab Bola Jaring Spitfire yang telah menganjurkan satu acara mengumpul dana untuk membiayai penginapan kontinjen negara di Hong Kong nanti.

“Syabas Asmawi dan Spitfire serta para pengadil yang telah memberikan khidmat pengadilan secara percuma,” ujarnya lanjut.

Datin Paduka Hajah Intan seterusnya berkata, “Semangat menyokong BNA dan Pasukan Kebangsaan kita seperti yang ditunjukkan oleh kelab dan pengadil-pengadil berkenaan sangatlah dihargai dan seharusnya dicontohi oleh kelab-kelab lain dalam menyokong slogan ‘Majulah Sukan Untuk Negara’.”

“Dukacita tidak semua kelab dan pemain serta pengadil yang bersifat begitu,” keluhnya ketika mendedahkan ada di antara kelab-kelab yang bukan saja tidak menyokong BNA tetapi turut menganggap BNA sebagai pesaing dan tandingan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA