Kelab bola sepak perlu berdaftar

Kelab bola sepak perlu berdaftar

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 18 Ogos – Kelab atau persatuan bola sepak di Daerah Belait yang mengadakan pertandingan tanpa mendapat sokongan rasmi Pertubuhan Bolasepak Daerah Belait (PBDB) boleh dikenakan tindakan jika didapati mengutip hasil pendapatan tanpa kebenaran pihak yang berwajib.

Justeru, mana-mana kelab atau persatuan di daerah ini disarankan untuk mendaftar atau bergabung dengan PBDB bagi mengelak sebarang masalah yang berkemungkinan akan timbul dari isu tersebut.

Setiausaha Agung PBDB, Awang Morni Bin Haji Zakaria menggalakkan mana-mana kelab dan persatuan bola sepak di daerah ini agar mendaftar atau bergabung dengan PBDB kerana PBDB adalah pertubuhan yang diberi kebenaran untuk mengadakan dan mengendalikan apa-apa acara bola sepak di Daerah Belait.

PBDB pula adalah persatuan yang berdaftar di bawah naungan Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) dan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dengan Polis DiRaja Brunei.

Pengiran Matussin (kiri) menerima kotak minuman sumbangan PBDB.
Pengiran Matussin (kiri) menerima kotak minuman sumbangan PBDB.

“Mana-mana persatuan atau kelab perlu mengetahui tatacara dalam mengadakan sebarang kejohanan untuk memastikan pertandingan mengikuti proses yang betul.

“Ia juga perlu mendapat kelulusan pihak yang berkenaan, agar tanggungjawab dan keselamatan sentiasa terjaga, terutama sekali dalam isu hasil pendapatan kewangan daripada penyertaan kelab atau persatuan di daerah ini,” Awang Morni menjelaskan.

Beliau juga menambah, mana-mana pihak yang bergabung atau berdaftar dengan PBDB dan ingin mengadakan acara serta ingin mendapatkan tajaan dinasihatkan untuk menulis surat rasmi kepada PBDB supaya mereka dapat memohon sokongan NFABD dan memohon kebenaran daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

“Perkara yang menjadi kebimbangan PBDB adalah bila ada acara dibuka kepada orang ramai dan ada yuran penyertaan. Jika berlaku sebarang isu seperti pembatalan acara, tanggjungjawab itu akan jatuh kepada pihak penganjur,” kata setiausaha itu lagi.

Beliau juga menyatakan, jika acara itu tidak melibatkan kutipan wang, penganjur boleh mengadakannya dan pihak PBDB juga mempelawa mana-mana pihak yang ingin menganjurkan acara terbuka agar memohon sokongan bertulis supaya PBDB dapat memberi khidmat bantuan dari segi teknikal dan nasihat.

“PBDB tidak menggalakkan pihak-pihak persendirian untuk menganjurkan kejohanan terbuka kecuali untuk ahli keluarga atau kawan-kawan mengumpul duit bagi membayar fasiliti sukan,” beliau menambah.

Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut bolehlah menghubungi e-mel: PBDB1111@gmail.com, pbdb.brunei@facebook.com atau melayari lama web www.p-b-d-b.weebly.com, www.facebook.com/pbdb.brunei dan www.p-b-d-b.blogspot.com.

Awang Morni yang juga Pengerusi Bersama Kejohanan Futsal PBDB-BMC sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Ke-69, juga mempelawa peminat bola sepak di negara ini untuk menyaksikan perasmian kejohanan futsal pada 23 Ogos bermula jam 8 pagi di Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait, di mana pasukan dalam Kumpulan A akan berentap.

Pada 25 Ogos, perlawanan Kumpulan B akan bermula jam 8 malam, manakala pasukan Kumpulan C dan D masing-masing akan berentap pada 26 dan 28 Ogos bermula jam 8 malam.

Perlawanan suku akhir akan diadakan pada 29 Ogos dari jam 8 malam hingga 10 malam. Peringkat separuh akhir akan dilangsungkan pada 30 Ogos bermula jam 10 pagi, dan perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat serta final akan diadakan di sebelah petang.

ARTIKEL YANG SAMA