Kelab Brunei sertai Karnival Ragbi Labuan

Kelab Brunei sertai Karnival Ragbi Labuan

LABUAN, 16 Sept (Bernama) – Kelab ragbi dari Negara Brunei Darussalam adalah di antara beberapa kelab handalan luar negara serta tempatan yang sudah pun mengesahkan penyertaan mereka di Karnival Ragbi 10-Sebelah Labuan, bulan depan.

Antara kelab luar negara lain yang akan menyertai kejohanan dari 3 hingga 4 Oktober depan itu ialah dari Filipina dan Singapura manakala kelab tempatan ialah Cobra Gold dari Selangor, NS Wanderers dari Negeri Sembilan, Keris Conlay, Kelab Ragbi Bintang dari Kuala Lumpur serta Sandakan Borneo Eagles dan Kota Kinabalu Sharks.

Pengarah kejohanan, Abdul Rashid Adlie berkata dua acara diadakan dalam karnival kali ke-15 itu bagi merebut Piala Anggota Parlimen dan Piala Ketua Pemuda.

Empat kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Kelab, Terbuka Wanita, Terbuka Veteran dan Terbuka Sekolah di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM18,920.

Menurutnya, Persatuan Ragbi Labuan (LRA) akan terus memastikan karnival itu menjadi acara sukan utama di pulau bebas cukai itu, sekali gus meletakkannya dalam kalendar tahunan sukan pelancongan negara ini.Sejak kali pertama diadakan pada 2001, kejohanan itu berjaya menarik penyertaan pasukan handalan sekitar Borneo dan Semenanjung seperti Sandakan Eagles, Miri Rhinos, COBRA, Royal Selangor Club, Force Blackhawk, Brunei and Brunei Yatchies Penaga.

ARTIKEL YANG SAMA