Kelab EPL nafi dakwaan guna bahan terlarang

Kelab EPL nafi dakwaan guna bahan terlarang

LONDON, 4 April (Agensi) – Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, Chelsea dan Leicester menafikan sebarang kaitan dengan penggunaan dadah berikutan dakwaan seorang doktor yang mendakwa memberikan bahan rangsangan untuk atlet meningkatkan persembahan.

Doktor berkenaan, Mark Bonar, menerusi filem rahsia dilakukan The Sunday Times berkata, dia sudah merawat lebih 150 atlet dalam tempoh enam tahun lalu menggunakan bahan terlarang.

Siasatan oleh kerajaan British akan melihat dakwaan Bonar dan bagaimana agensi antidadah negara itu menguruskan pendakwaan terhadapnya pada 2014. Bonar menggunakan Twitternya semalam dengan mendakwa laporan Sunday Times sebagai ‘salah dan sangat mengelirukan.’ “Saya tidak pernah mempunyai hubungan dengan mana-mana kelab Liga Perdana atau pemain.

“Saya tidak pernah memberikan terapi Androgen (hormon) untuk tujuan meningkatkan persembahan. Saya merawat gejala yang berlaku dengan ujian tahap rendah,” katanya.

Sunday Times yang berpangkalan di London, yang menghantar atlet yang menyamar untuk berjumpa Bonar, berkata doktor itu mendakwa sudah bekerjasama dengan ‘beberapa pemain bola sepak’ yang juga bekas dan masih bermain bersama Arsenal, Chelsea dan Leicester.

Namun penerbitan itu mengakui bahawa mereka ‘tidak ada bukti bebas bahawa Bonar merawat pemain itu’ dan ada laporan terhad mengenainya. Leicester, pasukan pendahulu EPL, menegaskan mereka mengikut ‘protokol tegas dan komprehensif berkaitan anti-doping untuk memastikan mereka mengikuti sepenuhnya peraturan’ bahan larangan.

Pasukan itu menambah bahawa mereka sangat kecewa dengan laporan The Sunday Times mengenai dakwaan merujuk kepada pemain kelab termasuk Leicester City ketika mereka tidak mempunyai bukti secukupnya untuk menyokong dakwaan itu. Chelsea menolak sebarang kaitan dengan kes itu sambil menyatakan ia ‘salah dan secara keseluruhan tanpa asas’ sambil menegaskan kelab itu tidak pernah menggunakan khidmat Bonar dan “tidak tahu mengenai sebarang rekod pemain mereka menerima rawatan dengannya.”